SPIELBERG – Pemandu McLaren, Lando Norris mengakui sangat kecewa dengan tindakan pelumba Red Bull, Sergio Perez yang menjadi punca dia terlepas untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua pada Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring kelmarin.
Pemandu berusia 21 tahun itu mempamerkan pemanduan terbaik apabila memberi tentangan hebat dalam kelompok depan, namun tindakannya menghalang Perez pada pusingan keempat mengundang padah apabila dia dikenakan penalti lima saat.
Norris jatuh ke posisi keempat, namun dia bangkit dan berjaya perbaiki saingan apabila mengakhiri perlumbaan di kedudukan ketiga. Perlumbaan tersebut dimenangi pemandu Red Bull, Max Verstappen dan Valtteri Bottas (Mercedes) di tempat kedua.
“Dia (Perez) ingin memintas saya dari sisi kiri dan ia agak mustahil untuk dilakukan ketika itu. Dia terkeluar sendiri daripada perlumbaan dan saya tidak menutup laluan atau menghalangnya ketika itu.
“Jadi, dia yang mengambil risiko, bukan saya. Saya rasa itu bukan kesalahan saya kerana saya mempertahankan kedudukan. Tidak patut saya dikenakan penalti atas kesalahan orang lain.
“Sudah pasti saya kecewa kerana saya berpeluang untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Bagaimanapun, secara keseluruhan saya gembira kerana kami masih mampu menamatkan podium,” katanya.
Hasil keputusan itu, Norris kini sudah meraih tiga kali podium tempat ketiga sekali gus meletakkanya di kedudukan keempat dengan 101 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dengan Perez di kedudukan ketiga dalam carta kedudukan pelumba ketika ini. – AGENSI