RANTAU PANJANG – Polis menutup lima laluan tikus bagi memastikan tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk penduduk sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Bagus di sini yang bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, rondaan dan pemantauan sentiasa dijalankan bagi memastikan penduduk mematuhi peraturan PKPD dengan tidak sewenang-wenangnya keluar dari kawasan itu.
“Polis juga telah memasang ‘water barrier’ bagi menutup laluan utama masuk ke kawasan lokaliti tersebut.
“Sekatan jalan raya (SJR) turut dijalankan di lima buah kawasan di Kampung Bagus bagi memudahkan aktiviti pemantauan dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau tugasan polis di lokaliti Kampung Bagus di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Mohd. Nasaruddin, PKPD di kawasan itu melibatkan dua lokasi iaitu Kampung Bagus dan Cabang Tiga Bagus.
Terdahulu, Kampung Bagus dikenakan PKPD bermula hari ini sehingga 20 Julai depan selepas 23 orang daripada 47 penduduk di situ disahkan positif Covid-19 selepas ujian saringan dijalankan terhadap mereka. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929