BELURAN – Seorang lelaki ditahan bersama 4,040 bungkus rokok dipercayai cuba diseludup dalam tangkapan dilaksanakan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 di jalan Kampung Manduring kelmarin.
Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, suspek yang juga warga tempatan berusia 39 tahun itu diberkas ketika melalui laluan tikus di kampung terbabit menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda sekitar pukul 9.30 pagi.
“Sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pusat pemeriksaan daratan (RCP) Sapi Nangoh ESSCOM yang sedang melaksanakan rondaan ‘Snap Check’ dan cegah jenayah di laluan berkenaan menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna hitam yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Sejurus pemeriksaan dilakukan, anggota bertugas menemui beberapa kotak besar yang berisi rokok seludup pelbagai jenama disembunyikan di bahagian tempat duduk penumpang belakang kenderaan.
“Antaranya jenis rokok seludup yang ditemui termasuklah 1,600 bungkus rokok jenama Astro Merah,1,000 bungkus rokok jenama Era Biru dan 50 bungkus rokok jenama Astro Hijau.
“Semua rokok seludup terbabit dianggarkan bernilai RM113,320,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut manakala semua rokok serta kereta pacuan empat roda yang digunakan turut dirampas.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. -K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929