PETALING JAYA – Kempen Shop Malaysia Online (SMO) kembali di Shopee untuk tahun kedua berturut-turut, menawarkan baucar diskaun, pulangan tunai dan subsidi penghantaran percuma bagi menyokong pengurusan kos sara hidup rakyat.
SMO yang sedang berlangsung hingga 1 Disember ini adalah inisiatif Kementerian Kewangan (MOF) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Tahun lalu, kempen berkenaan di Shopee telah menjana jualan bernilai lebih daripada RM540 juta untuk 80,000 penjual tempatan.
Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, lebih 2.9 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan SMO pada 2020 dengan membeli barangan berkaitan penjagaan kesihatan, menaik taraf kediaman dan barangan keperluan harian.
“Kempen ini juga telah melahirkan ramai pembeli online baharu yang mana secara purata mereka membuat empat pembelian tambahan di Shopee dalam tempoh kempen, walaupun perintah kawalan pergerakan telah pun dilonggarkan ketika itu.
“Ini menunjukkan selain memberi impak positif kepada kegiatan ekonomi, SMO telah berjaya memacu digitalisasi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Matlamat jangka pendek bagi SMO adalah memacu penggunaan domestik, manakala objektif jangka panjangnya ialah membawa lebih ramai pengguna online dan menggalakkan pembeli menyokong penjual tempatan.
Ho menerangkan, bagi menyokong matlamat berkenaan, Shopee mengambil pendekatan serampang tiga mata bagi SMO kali ini.
Ia adalah memberi ganjaran berbentuk baucar diskaun, pulangan tunai Syiling Shopee dan penghantaran percuma untuk pengguna yang membeli daripada penjual dengan label ‘ShopMalaysia.’
Selain itu, ia juga dapat menarik pelanggan kepada peruncit luar talian dengan pemberian pulangan tunai serta diskaun menerusi aplikasi Deals Near Me.