ROM – Sebuah akhbar di Itali percaya bahawa pemain tengah The Azzurri, Jorginho layak untuk merangkul Anugerah Ballon d’Or sekiranya pasukan itu muncul juara Euro 2020 kali ini.
Jorginho melalui musim yang cukup baik apabila membantu pasukannya, Chelsea memenangi Liga Juara-Juara dan ketika ini membawa Itali mara ke saingan separuh akhir Euro dengan dijadual menentang Sepanyol awal pagi esok.
La Gazzetta dello Sport yang melakukan analisis berkenaan percaya bekas pemain Napoli dan Hellas Verona itu layak untuk diangkat sebagai antara calon yang berkredibiliti untuk memenangi anugerah berkenaan kerana pencapaian cemerlangnya.
Musim ini menyaksikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi gagal meraih kejayaan cemerlang bersama kelab masing-masing sama ada dalam saingan domestik atau pun di pentas Eropah sekali gus membuka peluang kepada pemain lain untuk menjulangnya.
Akhbar dari Itali itu percaya, bekas pemain Jerman, Matthias Sammer berjaya merangkul gelaran Pemain Terbaik Dunia selepas membantu pasukannya menjuarai Euro 1996 begitu juga pemain pertahanan Itali, Fabio Cannavaro yang memenangi Ballon d’Or kerana membantu pasukan itu muncul juara Piala Dunia 2006.
Menurut mereka, impak kemenangan dalam kejohanan besar seperti Euro 2020 mampu membantu pemain untuk dipilih sebagai pemenang Ballon d’Or.
Selain Jorginho, dua pemain England, Raheem Sterling dan Harry Kane juga dianggap sebagai antara calon untuk merangkul Ballon d’Or dan Pemain Terbaik Dunia tetapi peluang pemain tengah Itali itu tidak boleh dipandang mudah.
Bintang Croatia, Luka Modric menjadi pemenang terakhir Ballon d’Or pada 2019 selepas membantu pasukannya muncul naib juara Piala Dunia 2018 dan pada tahun lalu anugerah tersebut dibatalkan ekoran pandemik Covid-19. – AGENSI