Oleh FAIZAL HAMID
MEDIA sosial merujuk kepada medium dalam bentuk video, audio, imej dan teks yang kita cipta atau reka, terima serta kongsi dalam ruang laman sosial.
Antaranya seperti laman hosting video, blog dan rangkaian jaringan sosial. Rangkaian sosial juga merujuk kepada cara individu dan kumpulan tertentu berinteraksi dan berkomunikasi secara
online.
Laman media sosial seperti Facebook, Twitter, LinkedIn, Instagram, Pintrest, Google+, Flickr dan banyak lagi termasuklah Weibo (elemen hibrid seperti Facebook dan Twitter) cukup popular di negara China atau Line yang merupakan rangkaian sosial terbesar di Jepun.
Sememangnya rangkaian media sosial mampu mewujudkan profil, berkongsi kandungan, memuat turun
status terbaru, memberi komentar dan mengikuti halaman media sosial sesiapa sahaja.
Media sosial kini digunakan sebagai strategi pemasaran fesyen dengan cukup meluas. Ia menawarkan peluang untuk mengetahui pandangan, pilihan, kesukaan dan aspirasi pelanggan tanpa terlalu memaksa atau mengganggu.
1) Mekanisme media sosial
Media sosial menyediakan perniagaan fesyen yang menggunakan mekanisme untuk mendapatkan informasi serta maklum balas dengan begitu mudah daripada pelanggan.
Ia juga boleh digunakan untuk membangun dan meningkatkan profil perniagaan, reputasi serta
menambah jumlah pengikut, peminat, pelanggan dan rakan kongsi perniagaan.
Ini penting kerana ia cara paling efektif, terpantas menjadikan berita terbaharu jenama fesyen tersebar secara viral kepada khalayak yang besar.
2) Strategi pemasaran fesyen dalam era digital
Cara pelanggan menggunakan media sosial untuk mendapatkan informasi tentang sesuatu jenama fesyen atau apa sahaja berubah secara drastik.
Mereka yang mahu berjaya dalam pemasaran fesyen perlu memahami bagaimana untuk mendekati dan
berkomunikasi dengan pelanggan secara online.
Menggunakan komunikasi internet, interaksi jenama fesyen dengan para pelanggan berlaku serentak di seluruh dunia dan disampaikan dengan pendekatan 360 darjah.
Setiap pendekatan kempen terbaharu, promosi jenama atau produk fesyen juga perlu disokong serta selari dengan setiap elemen media sosial yang mana boleh diukur, dikaji dan dijejaki keberkesanannya.
3) Peranan media sosial dalam
industri fesyen
Landskap media sosial sememangnya berkembang pesat. Saya percaya, ia akan terus memainkan peranan utama dalam industri fesyen kini dan masa hadapan dengan membawa pelbagai pengaruh, inspirasi, keunikan dan pilihan luas kepada pelanggan.
Media sosial memberi kita peluang untuk mengukur sejauh mana sesuatu jenama fesyen dan produk pelbagai kategori dalam memenuhi permintaan atau kehendak pasaran tempatan dan global, trend terkini, kunci perkataan carian di internet, komunikasi antara influencers serta pelanggan.
Ia juga menyediakan kaedah pemasaran fesyen global dengan kos efektif dan mudah, terutamanya bagi
jenama serta perniagaan fesyen kecil. Kita boleh lihat peluang serta peningkatan jumlah jenama fesyen
yang dilancarkan dan mempromosi perniagaan melalui Instagram.
Sememangnya potensi media sosial dalam mempromosikan fesyen sangat tidak terbatas.
4) Kehendak pelanggan diutamakan
Kunci kejayaan dalam strategi pemasaran melalui media sosial adalah apabila kita meletakkan cita rasa dan kehendak pelanggan sebagai elemen paling utama dalam dalam perniagaan.
Selain itu, kita perlu pastikan aspirasi serta mesej yang disampaikan ke seluruh media sosial sentiasa selari dengan konsep dan nada jenama fesyen yang ditonjolkan.
5) Kepentingan kefahaman
fungsi media sosial
Perlu juga kefahaman serta penyelidikan tentang bagaimana media sosial global berfungsi supaya mudah untuk kita berjaya memasarkan produk dengan lebih efektif dan cekap.
Sentiasa memperhalusi tentang keberkesanan imej, video atau penyuntingan yang dipaparkan di media
sosial.
Adakah ia berhasil membuatkan pelanggan tertarik untuk berbincang, berkongsi pendapat tentang produk tersebut dan seterusnya membuat pembelian.
Strategi pemasaran melalui media sosial jenama fesyen juga perlu ada integriti dan kejujuran kepada
pelanggan bagi menjamin keutuhan perniagaan untuk masa yang panjang.
Produk yang dihasilkan juga perlu ada nilai dari segi rekaan, kualiti dan perkhidmatan ditawarkan kepada sasaran pelanggan yang ditetapkan.