ROM – Bekas penjaga gol Itali, Walter Zenga mengakui kagum dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Gianluigi Donnarumma yang menjaga gawang pasukan itu sepanjang kempen Euro 2020 kali ini.
Menurutnya, Donnarumma merupakan salah seorang daripada lima pemain yang boleh dianggap sebagai ‘ketua’ di dalam skuad The Azzurri yang mampu menghidu setiap ancaman yang mereka perlu hadapi dalam setiap perlawanan.
Katanya, pemain itu sangat vokal dan berpengaruh untuk memberikan peringatan kepada pemain lain sekali gus menyebabkan rakan sepasukannya setiasa berwaspada serta tidak leka sepanjang perlawanan berlangsung.
“Dia mempunyai pengalaman yang sangat banyak pada usia muda dan mampu berdepan sebarang situasi. Dia adalah seorang ‘budak’ yang tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya.
“Walaupun spekulasi mengaitkan dirinya dengan perpindahan dari Milan ke Paris Saint-Germain, ia tidak pernah mengganggu fokusnya bersama Itali ketika ini.
“Dalam pasukan ini, saya lihat kami mempunyai dua orang ketua yang berkarisma, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini. Dua lagi adalah lebih bersifat sebagai taktikal iaitu Jorginho dan Lorenzo Insigne.
“Tapi, pemimpin yang lebih tenang saya lihat adalah Gigio (Donnarumma) kerana dia sentiasa memastikan pasukan berada dalam keadaan selamat. Dia seperti ‘penggera keselamatan’ untuk pasukannya untuk membolehkan pemain lain dalam keadaan bersedia.
“Saya hanya membuat debut di Serie A pada usia 23 tahun, tetapi Gigio pada usia 22 tahun sudah beraksi 200 perlawanan bersama Milan. Dia beraksi untuk pelbagai kejohanan sekali gus menimba banyak pengalaman untuk membuatkannya sentiasa bersedia mengawal gawangnya,” katanya.
Ketika ini Donnarumma hanya bolos sebanyak dua kali dalam lima perlawanan Euro iaitu ketika menentang Austria dan Belgium, namun dia berjaya mengawal gawangnya sepanjang tiga aksi peringkat kumpulan tanpa dibocori. –AGENSI