fbpx

‘Dahulu tengok tabligh, saya lari’ – FBI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAIZAL ISMAIL

PETALING JAYA – “Dahulu tengok tabligh, saya lari.”

Demikian pendedahan selebriti terkenal Faizal Ismail yang mengakui mula menyertai jemaah tabligh sejak tahun lalu sebagai langkah awal menjaga hubungan dengan Allah SWT.

Kata Faizal, 45, atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Ismail, ketika menyambung pengajian di United Kingdom, dia didekati dua jemaah tabligh dari Malaysia dan itu mengubah perjalanan hidupnya.

“Sejujurnya, menyertai jemaah tabligh adalah titik mula saya membuat penghijrahan atau perubahan dalam dalam diri. Kalau dulu tengok tabligh, saya lari sebab takut diajak ke masjid, tak sangka ketika di United Kingdom rumah saya diketuk dua jemaah tabligh dari Malaysia. Dari situ saya berfikir sejauh ini mereka nak mengajak ke arah kebaikan.

“Dalam agama kita, lelaki dituntut untuk solat berjemaah di masjid. Selama ini mungkin saya tidak ambil berat soal ini. Jadi, hubungan saya dengan Allah menjadi jauh.

“Pulang saja ke Malaysia, ini perkara saya fikir. Dalam masa sama, ketika itu saya sudah berbulan-bulan mengalami masalah kesukaran tidur malam. Sampai satu tahap nak menjadi satu tekanan dan berasa kecewa,” katanya.

Faizal berkata demikian pada sidang media virtual program Aidiladha saluran Alhijrah sebentar tadi.

Lelaki yang turut mesra disapa sebagai FBI berkata, pada mulanya, dia mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi pembabitannya dengan jemaah tabligh.

“Saya rujuk pada kenalan ustaz dan mereka sarankan saya untuk cuba perbaiki dulu hubungan dengan Allah. Alhamdulillah, saya pandang apa yang berlaku dalam diri saya ini adalah ketentuan Allah SWT.

“Saya pulang ke tanah air pada Julai tahun lalu. Pertama kali menyertai jemaah tabligh pada November tahun lalu. Saya terbabit dalam diam saja dan memang tidak mahu hebohkan. Alhamdulillah, sehingga sekarang sudah banyak kali terbabit,” ujarnya.

Kongsinya lagi, dia mula menyertai tabligh di sekitar kawasan tempat tinggalnya di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Saya menyertai tabligh di sekitar tempat tinggal saya di kampung di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Lagi pula sekarang ini saya menetap di Pulau Pinang sebab menjaga mak selepas kematian bapa.

“Memandangkan saya anak sulung lelaki, menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga mak. Kalau ke Kuala Lumpur pun atas urusan kerja,” katanya.

Untuk rekod, Faizal yang juga bekas penyampai radio Hot FM menyambung pengajian dalam bidang industri kreatif peringkat Sarjana di Universiti Cardiff, United Kingdom (UK) pada Ogos 2019.

Penularan wabak Covid-19 di sana memaksa semua pusat pengajian ditutup dan pembelajaran diteruskan secara dalam talian. Sejak itu, Faizal mengambil keputusan pulang ke tanah air.

Dalam perkembangan lain, Faizal akan membuat kemunculan semula di kaca televisyen apabila mengacarakan program La Tahzan yang mula bersiaran malam ini pukul 9 malam menerusi TV Alhijrah.

Bapa kepada empat orang cahaya mata itu bergandingan dengan bekas peyampai radio, Abby Fana. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI