MOSCOW – Pasukan mencari menemui bangkai pesawat penumpang membawa 28 orang yang hilang di Semenanjung Kamchatka, rantau timur jauh Rusia hari ini.
Pencarian mangsa terselamat ditangguhkan kerana keadaan gelap pada waktu malam, kata sumber kementerian kecemasan. Laporan awal oleh agensi berita Rusia menyatakan bahawa tidak ada mangsa terselamat akan ditemui.
Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov berkata,
pasukan mencari telah menemui bahagian badan dan serpihan pesawat di kawasan pantai dan di Laut Okhotsk.
“Terdapat bencana semasa pendekatan mendarat,” kata Solodov dalam rakaman video yang dikeluarkan di laman web pemerintah.
Dalam satu kenyataan kepada agensi berita Interfax, beliau memberitahu, belum ada tanda-tanda penumpang atau barang mereka di lokasi pencarian.
Agensi penerbangan Rusia mengatakan dalam satu kenyataan bahawa serpihan pesawat itu dijumpai pada pukul 9.06 malam (waktu tempatan) hari ini.
Terdahulu, jurucakap pendakwa raya bahagian pengangkutan, Valentina Glazova berkata, pesawat An-26 itu berlepas dari bandar utama Kamchatka, Petropavlovsk-Kamchatsky menuju ke bandar pesisir pantai Palana ketika hilang pada jam 2.40 petang (waktu tempatan).
Pegawai-pegawai mengatakan bahawa pesawat itu terputus hubungan 9 kilometer dari lapangan terbang Palana dan 10 minit sebelum waktu pendaratan yang dijadualkan.
Menurut beberapa pegawai tempatan, kebanyakan penumpang berasal dari Palana iaitu bandar yang mempunyai sekitar 3,000 penduduk.
Antara penumpang pesawat itu termasuk empat pegawai pentadbiran tempatan dan ketua bandar Palana, Olga Mokhiryova.
Interfax memetik Armada Pasifik Rusia sebagai mengatakan bahawa beberapa serpihan pesawat itu ditemui di lereng bukit dan bahagian lain di laut pada jarak sekitar 4 kilometer dari pantai.
Pesawat An-26, dihasilkan dari tahun 1969 hingga 1986 semasa era Kesatuan Soviet (USSR) dan masih digunakan di seluruh negara bekas USSR sebagai pengangkutan awam dan tentera.
Pesawat itu terlibat dalam sejumlah kemalangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebelum ini, empat orang mati pada Mac lepas apabila sebuah pesawat An-26 yang digunakan oleh tentera Kazakhstan terhempas ketika mendarat di sebuah lapangan terbang di bandar terbesar di negara itu, Almaty. – AFP