JAKARTA – Seorang lelaki tergamak membakar rumah ibu bapanya di Kota Padang, Sumatera Barat hanya kerana tidak diberikan wang untuk berjudi, lapor Suara.Com, semalam.
Lelaki yang dikenali sebagai MH (26) itu dipercayai berang apabila permintaannya mendapatkan wang sejumlah 150,000 rupiah (RM43) ditolak dan hanya diberi 50,000 rupiah (RM14) oleh orang tuanya.
Akibat terlalu marah, suspek bertindak membakar rumah setinggan milik ibu bapanya yang terletak di Kelurahan Kurau Gadang, Kecamatan Nanggalo, Kota Padang.
“Ketika kejadian, ibu bapa suspek tiada rumah. Sebaik sahaja rumah dibakar hangus, dia pergi melepak di tempat judi yang biasa dikunjunginya.
“Pihak polis berjaya menahannya di lokasi tersebut hasil bantuan maklumat orang ramai,” kata Ketua Polis Nanggalo, Asisten Komisioner Sosmedya.
Menurut saksi kejadian, kebakaran mungkin berpunca dari kebocoran gas kerana terdengar bunyi letupan kuat sebelum api menjadi marak. – Agensi