fbpx

4 pemuda mengaku tidak bersalah bunuh bekas pengarah MARDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail keempat-empat tertuduh didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 Disember tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Empat pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Wan Hassan Wan Embong, November tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh iaitu S.Vickeswaran ,23, P.Kogilan, 24, M.Ravindran, 24, dan T.Sugu, 28, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.

Vickeswaran bekerja sebagai pengawal keselamatan, Kogilan bekerja sebagai penghantar surat, Sugu seorang juruelektrik manakala Ravindran tidak bekerja.

Mengikut pertuduhan,  mereka didakwa dengan niat bersama-sama telah melakukan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan ,73, di kediamannya di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini antara pukul 3.35 pagi dan 4 pagi pada 29 November 2020.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, mereka juga turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan rompak secara berkumpulan dengan menggunakan sebilah parang dan sebatang tukul besi ke atas seorang jurutera Mohd. Muzaffar Zulkifli Martin, 33, dengan anggaran kerugian sebanyak RM38,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tiara Titiwangsa, Setapak di sini antara pukul 4.12 pagi dan 5.30 pagi pada tarikh sama.

Bagi kes itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, salah seorang tertuduh iaitu Ravindran yang menghadapi satu lagi pertuduhan mencederakan isteri Wan Hassan, Sarifah Yusof, 71, menggunakan sebilah parang yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nor Dayana Mohamad manakala kesemua tertuduh wakili peguam Datuk Sheelan Arjunan

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Julai ini bagi pengurusan kes manakala tarikh perbicaraan pula dijadualkan pada Februari tahun depan.

Kosmo! 29 November tahun lalu melaporkan, Wan Hassan maut, manakala isterinya, Sarifah Yusof ,70, turut dicederakan selepas diserang perompak bersenjatakan parang di kediaman mereka di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini.

Wan Hassan maut akibat mengalami kecederaan pada muka dan leher. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI