KUALA NERUS – Keakraban dua beradik wanita warga emas terbukti apabila mereka hadir bersama-sama untuk menerima vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Zalillah Muda, 85, dan adiknya, Aminah, 80, biarpun uzur, mereka tetap ceria beriringan ke PPV tersebut untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dengan berkerusi roda.
Anak Zalillah, Zadil Hayat, 44, berkata, ibunya dan Aminah yang merupakan anak pertama dan kedua daripada sembilan beradik sememangnya rapat sejak kecil.
“Sewaktu sihat dahulu, mereka sering meluangkan masa bersama termasuk ke kenduri kahwin, mengundi (pilihan raya) dan menziarah keluarga.
“Kedua-duanya yang menetap bersama saya di Kampung Batu Maras di sini sejak kehilangan suami masing-masing dan uzur turut berjanji mahu hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama-sama hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di PPV UniSZA di sini hari ini.
Zadil berkata, ibu dan ibu saudaranya begitu bersemangat untuk menyahut seruan kerajaan bagi membentuk komuniti kelompok mengekang penularan Covid-19.
Ujarnya, walaupun kedua-dua uzur, mereka faham kepentingan divaksin dan tidak gentar disuntik dengan jarum suntikan.
“Alhamdulillah, urusan ibu dan ibu saudara disuntik dos pertama vaksin Covid-19 berjalan lancar dengan bantuan sukarelawan PPV yang ringan tulang,” katanya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929