PETALING JAYA – Seramai 102 individu uzur yang terlantar, pesakit kanser dan kronik serta orang kelainan upaya (OKU) sudah divaksin dalam Program Vaksin Rumah ke Rumah (PVRKR) hari ini.
Pengarah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. M. Murallitharan berkata, pihak NCSM, Pertubuhan Wanita Malaysia Untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MYWATCH), Malaysian Medical Association (MMA), Yayasan myNadi telah mula membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam inisiatif jangkauan vaksin.
“Program ini melibatkan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi individu uzur, terlantar, OKU, serta berpenyakit kronik yang tidak membolehkan mereka pergi sendiri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Pada hari ini, kami telah berjaya memberikan suntikan vaksinasi kepada 102 orang,” katanya pada sidang akhbar secara maya di sini hari ini.
Tambahnya lagi, program ini dikawal selia oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM dan akan diimplementasi secara berperingkat di seluruh negara secepat mungkin.
Dalam pada itu, beliau turut memanggil mana-mana individu yang tidak dapat hadir ke PPV kerana masalah tertentu untuk berdaftar di bawah program PVRKR.
“Penjaga kepada pesakit yang uzur, terlantar dan individu OKU boleh mendaftarkan ahli keluarga mereka bagi inisiatif PVRKR dengan mengisi borang dalam bahasa Melayu melalui pautan bit.ly/indvcncsmBM, bahasa Inggeris (bit.ly/indvcncsm); bahasa Cina (bit.ly/indvcncsmCH) dan bahasa Tamil (bit.ly/indvcncsmTL),” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929