fbpx

Tempoh genting penularan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa dunia kini dalam tempoh sangat berbahaya sepanjang dilanda pandemik Covid-19 akibat penularan varian Delta, lapor akhbar The Straits Times, kelmarin.

Kemampuan varian Delta yang pertama kali ditemui di India itu yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan kesan kesihatan lebih serius kini sudah dikesan sekurang-kurangnya di 98 buah negara.

Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva, Switzerland berkata ancaman Delta semakin meningkat kerana ia bermutasi dari masa ke semasa.

Oleh sebab itu, varian ini memerlukan penilaian berterusan dan penyesuaian tindak balas kesihatan awam yang teliti.

“Penyebaran varian Delta ini sangat membimbangkan terutama di negara-negara miskin dan membangun yang mempunyai kadar liputan vaksinasi rendah.

“Di negara-negara tersebut, adegan yang menyaksikan hospital-hospital dipenuhi pesakit Covid-19 adalah perkara biasa. Biarpun kes dilihat semakin terkawal di negara-negara maju, namun belum ada yang benar-benar selamat dari varian ini,” tegas Ghebreyesus.

Menurut Ghebreyesus, tindakan beberapa pemerintah dunia yang mula melonggarkan kawalan kesihatan Covid-19 demi membangunkan semula sektor ekonomi menimbulkan kebimbangan WHO.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengatakan bahawa hampir 25 peratus jangkitan baharu di sana dikaitkan dengan varian Delta, meningkat enam  peratus pada awal bulan lalu.

Malahan, CDC Eropah juga telah memberi amaran bahawa varian Delta akan menyumbang 90 peratus kes di blok tersebut menjelang akhir bulan hadapan.

Kes membabitkan varian Delta juga melonjak di rantau Asia dengan negara-negara seperti Australia, Indonesia dan  Malaysia melaporkan lonjakan jangkitan dan memaksa kerajaan melaksanakan semula perintah berkurung serta mempercepatkan kempen vaksinasi mereka.

Ghebreyesus turut menggesa pemimpin dunia untuk sekurang-kurangnya mencapai tahap vaksinasi sebanyak 10 peratus daripada populasi rakyat untuk melindungi lebih banyak nyawa.

Beliau juga mendesak pengeluar vaksin seperti Pfizer-BioTech dan Moderna, untuk berkongsi pengetahuan dan teknologi mereka dalam usaha mempercepatkan hab pembuatan vaksin mRNA (asid ribonukleat) baharu.

“Dunia perlu terbuka untuk berkongsi bekalan sut perlindungan diri (PPE), tabung oksigen, kaedah ujian, jenis rawatan dan pembuatan vaksin.

“Meskipun beberapa negara sudah mula membahagikan stok vaksin mereka namun jumlahnya masih sedikit jika hendak dibandingkan jumlah memerlukan,” jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI