fbpx

Takut azab Allah SWT, Hafiz Suip mohon maaf pada semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM perkongsian gambar menerusi Instagram (kanan), Hafiz ditegur peminat kerana dilihat semakin kurus.

PETALING JAYA – “Saya minta maaf pada semua andai saya ada buat salah. Hakikatnya saya takut azab Allah SWT apabila mati nanti.”

Demikian permohonan penyanyi terkenal, Hafiz Suip yang meminta ampun dan maaf kepada semua pihak andai dirinya pernah melakukan kesalahan.

Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Hafiz atau nama lengkapnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, 31, berkata, permohonan maaf itu dibuat kerana takut dengan azab Allah SWT andai dirinya mati suatu hari nanti.

“Assalamualaikum. Nama saya Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih dikenali sebagai Hafiz Suip di dunia ini. Tapi saya ingin memohon maaf atas kesalahan yang pernah saya lakukan pada anda semua jika ada yang berkecil hati, tersalah cakap dan sebagainya.

“Jika ada dendam yang tersimpan selama ini, maafkan saya. Ini bukan cerita sedih atau cerita dongeng, tetapi hakikatnya saya takut azab Allah SWT apabila satu hari nanti jika saya mati, saya akan dihisab (perhitungan dosa dan pahala),” katanya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Awan Nano itu turut meminta orang ramai terutama peminatnya mendoakan yang terbaik dengan melakukan solat sunat dua rakaat untuk memohon doa dan keampunan kepada Allah SWT.

“Saya tidak meminta lebih, cuma doakan yang baik dan saya minta kalian bermodalkan lima minit sahaja jika ada masalah, buat solat sunat dua rakaat untuk berdoa kepada Allah SWT.

“Jangan harapkan makhluk, maksud saya jangan harapkan diri kita sekali pun. Sebab yang menggerakkan kita Dia (Allah) juga. Insya-Allah, hati tenang pasti jumpa solusi (penyelesaian),” ujarnya lagi.

Dalam hantaran sama, bekas juara program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu turut berkongsi sekeping foto dirinya dalam versi hitam putih.

Menjengah dalam ruangan komen, ramai peminat mendoakan kesejahteraan penyanyi itu selain turut meninggalkan komen bertanyakan keadaan dirinya yang kelihatan semakin kurus.

“Kenapa kurus?” komen seorang pengikutnya dalam Instagram.

Hafiz bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI