fbpx

Siti Nurhaliza sasar kanak-kanak, 1,500 keluarga terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings Sdn Bhd menggerakkan program Bantuan Prihatin 2021, Siti Nurhaliza mahu membantu 1,500 keluarga yang terjejas akibat impak pandemik Covid-19.

PETALING JAYA – Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings menggerakkan program Bantuan Prihatin 2021 bagi membantu 1,500 keluarga yang terjejas akibat impak pandemik Covid-19.

Katanya, inisiatif tersebut menyasarkan kanak-kanak daripada keluarga yang memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lembah Kelang.

“Bantuan ini memfokuskan kepada penyediaan barangan keperluan kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah dan boleh dipohon keluarga memerlukan di Selangor dan Kuala Lumpur.

”Kami akan mengusahakannya secara berperingkat dengan menyasarkan kira-kira 1,500 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini supaya dapat dibantu sepanjang PKP dan PKPD dilaksanakan.

“Pihak kami berharap program bantuan ini dapat meringankan beban keluarga yang terjejas dalam situasi sekarang terutama yang mempunyai anak kecil,” katanya.

Pada masa sama, Siti yang juga pengasas merangkap Presiden CTDK Holdings Sdn Bhd berterima kasih kepada beberapa syarikat yang sudi bekerjasama dan menjadi Rakan Kolaborasi Prihatin.

“Terima kasih buat syarikat yang menyertai program bantuan ini seperti Ikhlas.com, Mommyhana Creative Sdn Bhd,  Yayasan Rosni Noor dan L&K Multivision Sdn Bhd.

“Saya berharap agar lebih banyak lagi pihak yang berminat menyertai kami sebagai Rakan Kolaborasi Prihatin supaya program bantuan ini dapat dilakukan dengan lebih menyeluruh,” katanya lagi.

Penyanyi itu tidak ketinggalan meluahkan perasaan terharu melihat keprihatinan seluruh rakyat yang sentiasa bersatu dalam berdepan sebarang dugaan.

“Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, usaha pelbagai pihak menyalurkan bantuan tidak pernah terhenti dan saya terharu dengan sikap prihatin ditunjukkan oleh rakyat Malaysia.

“Hari ini kita terus kuat dan bersatu untuk menjadi sebuah keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan dan sebagainya,” kongsi penghibur berusia 42 tahun itu.

Bagi mereka yang ingin memohon Bantuan Prihatin 2021, pihak berkenaan boleh berbuat demikian menerusi permohonan di aplikasi Google Form https://forms.gle/g4WzEVHYsTt9pC548

Ia dibuka kepada keluarga susah yang mempunyai anak berusia enam tahun dan ke bawah dengan hanya diwakili sama ada suami atau isteri saja ketika membuat permohonan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI