PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ternyata memberi kesan yang amat besar kepada semua orang.
Menyedari ada antara kita yang sedang diuji dengan dengan masalah kewangan untuk mendapatkan keperluan harian untuk meneruskan hidup, rakyat Malaysia terus menunjukkan sikap prihatin apabila menyahut seruan kempen mengibarkan bendera putih.
Kempen tersebut adalah satu usaha murni yang dapat memupuk semangat kekitaan serta membuatkan kita terus kuat menempuh ranjau mendatang.
Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, kempen mengibarkan bendera putih ini adalah satu simbol yang boleh menjadi petunjuk bahawa ada orang sedang memerlukan bantuan dan pertolongan.
Menurutnya, simbol tersebut kini sudah difahami oleh orang sekeliling dan bantuan boleh disalurkan dengan kadar segera.
“Jangan ada pihak yang memperlekehkan usaha murni ini. Dalam konteks memberi bantuan semua saluran boleh digerakan dan digunakan. Sebaiknya kita guna sebanyak mungkin saluran agar bantuan cepat sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Kadangkala pihak berwajib mempunyai kekangan dan keupayaan yang terhad. Oleh itu, inisiatif yang digerakkan oleh rakyat kepada rakyat ini membolehkan bantuan disalurkan secepat mungkin,” jelasnya.
Zaid juga menegaskan, setiap yang berlaku ada hikmahnya begitu juga dengan kempen mengibar bendera putih.
Melalui kempen ini ia akan menyuburkan semangat kekitaan, sukarelawan, kejiranan dan lain-lain lagi nilai murni yang sememangnya ada di dalam jiwa setiap masyarakat negara ini.
“Tidak dapat dinafikan di kawasan bandar hubungan antara kejiranan itu mungkin agak longgar kerana masing-masing sibuk dan jarang bertegur sapa.
“Tetapi apabila kempen ini digerakkan ia akan mengeratkan lagi hubungan antara jiran,” tegasnya.
Namun begitu, ada pihak yang kurang senang dengan kempen ini sedangkan ia boleh dianggap sebagai alternatif yang paling pantas dalam membantu mempercepatkan lagi pengagihan bantuan kepada mereka yang terjejas.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-588: Hukum kibar bendera putih untuk meminta bantuan menjelaskan, hukum menggunakan bendera putih untuk meminta bantuan ketika kesusahan bergantung kepada perspektif masing-masing.
Menurutnya, jika perbuatan itu atas dasar membantu mereka yang memerlukan dengan cara memudahkan pihak yang ingin memberi bantuan dan mengenal pasti pihak yang dalam kesusahan, maka boleh dilaksanakan.
“Sebaliknya jika kita lihat itu sebagai mengaibkan diri sendiri maka wajar dielakkan. Dalam keadaan sekarang, ramai pihak sudi menghulurkan bantuan dan juga disediakan nombor-nombor untuk dihubungi bagi mereka yang dalam kesusahan.
“Mereka juga boleh menghubungi terus pihak yang membantu untuk segera mendapatkan bantuan. Ia terserah kepada pertimbangan masing-masing dalam melaksanakan melalui cara dan inisiatif dalam bentuk bagaimana yang dirasakan selesa,” jelasnya.
PMWP juga menghuraikan bahawa, meminta bantuan ketika kesusahan tidak dilarang di dalam Islam.
Bahkan digalakkan untuk mereka yang mampu dari segi harta mencari orang-orang yang susah dan fakir miskin.
Kebanyakan daripada kita semua beranggapan ramai yang mampu bertahan ketika dalam kesusahan, tetapi sebaliknya secara realiti sebilangan mereka yang dalam kesusahan ini memilih untuk memendam keresahan dan berdiam diri. – K! ONLINE