KUALA PERLIS – Taktik licik dua penyeludup mengubah suai ruang simpanan ikan sebuah bot nelayan kepada tangki minyak diesel terbongkar apabila bot tersebut ditahan Maritim Malaysia (APMM) di perairan ini hari ini.
Bot pukat hanyut kelas A itu ditahan anggota APMM Zon Maritim Kuala Perlis pada jarak 0.1 batu nautika barat pantai Kuala Perlis kira-kira pukul 6.15 pagi.
Pengarah APMM Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, hasil maklumat risikan dan pemantauan mendapati berlaku aktiviti penyeludupan diesel oleh bot nelayan tempatan di sekitar perairan negeri ini.
“Berikutan itu, kita telah mengatur gerak pasukan operasi ke sekitar lokasi dan mengesan dua suspek mengemudi sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.
“Bot tersebut didapati sedang keluar dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand kira-kira pukul 5.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, sebaik menyedari diekori bot penguat kuasa, suspek memecut laju dengan berpatah balik menghala ke jeti LKIM Kuala Perlis dan bertindak melompat ke atas jeti dengan meninggalkan bot lalu meloloskan diri.
“Pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati ia telah diubah suai yang mana ruang simpanan ikan di bahagian hadapan dijadikan tangki diesel.
“Kira-kira 3,000 liter diesel bernilai RM6,450 ditemui bersama satu bungkusan plastik disyaki daun ketum seberat dua kg bernilai RM360 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” tambahnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929