PETALING JAYA – Setelah empat tahun menderita menghidap barah prostat tahap empat dan buah pinggang sejak 2017, penyanyi popular era 1980-an, Azman Idris, 61, disahkan meninggal dunia di kediamannya sekitar pukul 2.15 pagi tadi.
Berita duka itu disahkan penyanyi Afee U-topia dan adik allahyarham, Shah Amirudin Idris serta beberapa lagi penggiat seni lain dalam Facebook.
Terdahulu, tahap kesihatan penyanyi yang popular menerusi lagu Zubaidah itu mula merosok selepas menjalani pembedahan kecil memasang semula tiub pada bahagian pinggangnya yang tertanggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 21 Jun lalu.
Bagaimanapun isterinya, Madinah Abu Bakar berkata, keadaan suaminya itu terlalu lemah sehingga sukar untuk bercakap selain tidak mampu untuk menelan makanan dan minuman.
Keadaannya cukup berbeza ketika dimasukkan ke HKL pada 17 Jun lalu apabila Allahyarham dilihat masih bertenaga, mampu untuk makan dan bercakap seperti biasa.
Sejak lima bulan lalu, tahap kesihatannya juga semakin merosot sehingga menyebabkan arwah hanya terbaring sekali gus menyebabkan rawatan kimoterapi dan dialysis yang sepatutnya dibuat tidak dapat diteruskan.
Ekoran itu, doktor hanya memberi ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain di samping menjalani pemantauan dari rumah dengan bantuan sebuah badan amal, Kasih Hospice Care.
Hasil perkahwinan dengan Madinah, Allahyarham dikurniakan enam orang anak serta seorang anak hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu.
Sepanjang bergelar penyanyi, Azman pernah menghasilkan tiga buah album solo iaitu Zuraidah, Dilamun Rindu dan Kembali serta sebuah album bersama kumpulan Angka (Digital) yang berjudul Akan Ku Bahagiakan Hidupmu.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Bangkong, Jalan Kuching, di ibu negara hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929