PETALING JAYA – Penyanyi Elizabeth Tan tidak dapat menahan kesedihan apabila Instagramnya dihujani kiriman mesej (DM) daripada orang ramai yang dalam kesusahan bagi meminta bantuan daripadanya.
Menerusi video yang dimuat naik dalam InstaStorynya semalam, Elizabeth atau Lizzy terlebih dahulu memohon maaf kerana tidak mampu untuk membantu semua orang.
“Untuk masa sekarang, saya dah tolong seramai yang termampu sahaja. Maaf tak dapat bantu semua orang yang DM saya. Ramai sangat DM saya.
“Saya sangat-sangat sedih baca semua mesej kesusahan yang kalian sedang hadapi. Saya harap dapat tolong semua orang,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Pada masa sama, pelantun lagu Polis Entry itu turut memahami situasi sukar yang sedang dihadapi ramai orang ketika ini.
“Ini masa yang sukar untuk semua orang di Malaysia dan saya tak sabar nak tunggu semua ini berakhir.
“Saya pun tak tahu nak cakap apa lagi. Jaga diri dan saya sangat sayangkan kalian,” ujarnya lagi.
Dua hari lalu, Lizzy menerusi Instagram menyumbangkan 50 peratus daripada pendapatannya bulan ini sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan.
Sejak kempen bendera putih dijalankan di negara ini bagi membantu golongan susah akibat tiada punca pendapatan, ramai selebriti tampil mengambil bahagian menghulur bantuan.
Antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Mimi Lana, Naim Daniel, Neelofa dan suaminya Haris Ismail, Rozita Che Wan dan ramai lagi. – K! ONLINE