fbpx

Lelaki didenda RM3,000, jual lembu curi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahyar (dua dari kanan) dan Mazli (tengah) diiringi anggota polis selepas dihadapkan atas pertuduhan menjual lembu hasil curi di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Padah menjual seekor lembu curi, seorang lelaki didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku salah melakukan perbuatan tersebut, bulan lalu.

Majistret, Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ahyar, 42, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melupuskan suatu harta iaitu seekor lembu jantan kepunyaan Nor Azizi Mohamad Sidin, 39, yang dalam pengetahuan ternakan itu merupakan hasil curi dengan menjualkannya kepada Mohd. Najib Mat Som, 36, pada harga RM2,700.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 11.30 pagi di sebuah kebun getah berhampiran kandang lembu milik penama Mohd. Zaki Bakar, 44, di Kampung Kelubi dalam daerah Jasin, 8 Jun 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan dia mempunyai tanggungan isteri dan anak, selain tiada pendapatan tetap.

Dalam prosiding berasingan, seorang penjawat awam, Mazli Bakar, 53, turut didakwa atas pertuduhan sama yang dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Tertuduh yang diwakili Peguam, Izzuddin Ab. Malek bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan hanya bekerja sebagai pembantu awam di Hospital Jasin dengan gaji kira-kira RM1,400 sebulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Nabilalif Mohd. Rosli memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap Ahyar sebagai pengajaran, selain mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 diberikan kepada Mazli.

Selepas mendengar hujan kedua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar terhadap Ahyar, manakala penjawat awam itu dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000.

Beliau kemudian turut menetapkan tarikh 1 September depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI