KUALA LUMPUR – Lebih 90 peratus warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuala Lumpur (KL) dan ahli keluarga sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya berharap proses vaksinasi itu akan mencapai 100 peratus dalam masa terdekat meskipun menyedari terdapat kekangan bagi mencapai hasrat itu.
“Kita akui agak sukar untuk mencapai jumlah 100 peratus kerana ada dalam kalangan warga kerja dan ahli keluarga berdepan masalah kesihatan dan beberapa masalah lain sekali gus tidak membolehkan mereka untuk menerima suntikan vaksin.
“Walaupun begitu, kita akan berusaha untuk memastikan sasaran 100 peratus akan tercapai,” ujarnya kepada pemberita ketika menyerahkan sumbangan bekalan makanan kepada 30 penduduk Projek Perumahan Rakyat ( PPR) Sentul Murni, Sentul dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak PDRM juga akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di 19 lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi memastikan insiden meloloskan diri melalui kawat duri seperti yang berlaku di PPR Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam, tidak berulang.
“Kita akan melihat dari segi penguatkuasaan perundangan terhadap individu yang cuba meloloskan diri termasuk memperbaiki dan menambah baik semua langkah keselamatan di lokaliti berkenaan.
“Pada masa sama juga kita akan mempertingkatkan usahasama dengan beberapa agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia ( ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain agensi bagi tujuan itu,” ujarnya.
Mengulas perkembangan dua individu yang meloloskan diri daripada PPR Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam dalam kejadian semalam, jelas Lei Choo, polis sedang memburu kedua-dua suspek yang berusia 34 dan 46 tahun itu dan yakin mereka akan dapat ditangkap dalam masa terdekat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929