SELALUNYA komik-komik yang terjual di pasaran lebih bersifat satira dan berunsurkan lawak. Jarang sekali naskhah tersebut mengetengahkan topik-topik berkenaan pendidikan.
Mengambil pandangan situasi tersebut, Muhammad Nazry Abdul Salam mengambil inisiatif menghasilkan komik berbentuk pendidikan kerana mahu memberikan sumbangan lebih signifikan kepada golongan pelajar di negara ini.
Bermula dengan menghasilkan komik Misi 8A yang merujuk kepada gred maksimum bagi Peperiksaan Menengah Rendah yang digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini kemudian berjaya menghasilkan lebih 30 judul lain yang kesemuanya bagi tujuan pendidikan dan motivasi.
Biarpun graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Komputer) dengan Kepujian Kelas Pertama daripada Universiti Teknologi Malaysia, Skudai itu, tidak mempunyai sebarang pendidikan formal dalam pembikinan komik, namun siapa sangka ia mendapat sambutan dan bertapak lebih 10 tahun di pasaran.
“Idea komik Misi 8A datang semasa berborak kosong dengan adik saya, Afiq Salam. Ketika itu tahun 2010 dan kami sedang duduk santai di tepi pantai Danga Bay, Johor Bahru.
“Tiba-tiba dia kemukakan satu persoalan iaitu ‘mengapa tiada sesiapa hasilkan komik berkaitan akademik, pelajaran dan peperiksaan? Pertanyaan itu membuatkan kepala saya dihujani idea yang bertalu-talu,” katanya.
Sekembalinya ke rumah, Nazry terus duduk di mejanya dan merangka jalan cerita bagi menghasilkan sebuah komik bertemakan akademik dan pelajaran.
Memandangkan pada waktu itu dia juga merupakan pelajar cemerlang SPM dengan keputusan 9A1B, Nazry berhasrat mahu berkongsikan tip dan menitipkan motivasi pelajar kepada pembaca komik yang baru dihasilkannya itu.
“Saya bertanggungjawab menyiapkan lakaran cerita, manakala Afiq pula melukis manuskrip komik.
“Genap dua bulan kemudian, kami berjaya siapkan lebih 100 halaman manuskrip komik yang kami beri judul
Misi 8A,” tambahnya.
Menggunakan karakter pelajar tingkatan tiga bernama Aizad yang merupakan seorang pelajar malas dan tidak bermotivasi, Nazry menyelitkan banyak teknik dan tip belajar yang praktikal serta berkesan seperti teknik membaca, teknik menguasai pelajaran dan banyak lagi.
Biarpun jalan cerita komik tersebut adalah fiksyen dan rekaan semata-mata, namun ia turut menyelitkan pengalaman sebenar supaya para pelajar boleh kaitkan dengan diri sendiri.
Menariknya, komik perahan idea Nazry ini telah disemak dan diperakui oleh tokoh pendidikan seperti Dr. Fadzilah Kamsah dan Ustaz Hasrizal.
“Agak mencabar untuk menyiapkan komik ini kerana bagi terbitkan sebuah komik, kami perlu siapkan manuskrip
sebanyak 100 hingga 120 halaman.
“Ia pastinya bukan satu perkara yang mudah kerana di awal pembabitannya, kami berkarya secara sambilan memandangkan Afiq pada waktu itu masih bersekolah dan saya pula menjadi tutor di sebuah IPT (institusi pengajian tinggi).
“Pembikinan komik mengambil masa yang panjang, tetapi kemudian dijual pada harga rendah.
“Harga komik tempatan dalam pasaran adalah antara RM8 hingga RM12, berbanding novel yang boleh mencecah RM30 sebuah,” ujarnya.
Komik Misi 8A kini telah disunting dan diubah judul menjadi MISI PT3.
Melihatkan sambutan yang amat menggalakkan, Nazry kemudian membuat komik sekuel iaitu MISI 10A sebelum menerbitkan beberapa komik lain seperti MISI 10A PLUS, MISI 10A FINALE dan lain-lain lagi.
Menariknya, karya pemuda ini sudah terjual melebihi 800,000 naskhah. Kini katanya, dia memberi nafas baharu kepada karya komik itu dengan mengadaptasinya kepada bentuk animasi. Bagaimanapun jelasnya, ia masih diperingkat pembikinan.
“Impian saya adalah untuk melihat komik-komik ini dianimasikan sepenuhnya dan ditayangkan di kaca televisyen, Astro, Netflix, Disney+, supaya lebih ramai orang boleh dapat kebaikan dan manfaatnya.
“Saya juga mahu lihat komik-komik ini dijual di pasaran antarabangsa.
“Buat masa ini, komik saya turut diedarkan di Singapura, Brunei dan Indonesia. Kami akan usahakan supaya ia berjaya tembusi pasaran global dengan lebih luas lagi,” kongsinya.