PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) telah mula menjalankan ujian saringan Covid-19 kepada setiap penghuni di Mentari Court, Petaling Jaya, Selangor.
KKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah melakukan lawatan dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penghuni menjalani ujian saringan sebagai langkah membendung penularan jangkitan di kawasan berkenaan.
“Ujian saringan itu melibatkan kira-kira 17,000 penduduk yang menghuni 3,469 unit pangsapuri di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook hari ini.
Menurut KKM, rancangan untuk memberi vaksin kepada penduduk di kawasan berkenaan yang dijadualkan semalam terpaksa ditangguhkan sehingga ujian saringan selesai sepenuhnya.
Mentari Court merupakan satu daripada lokaliti di Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu.
“Ujian saringan ini mendapat kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan ia berjalan lancar termasuk polis, tentera, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling,” katanya.
Selain Mentari Court, dua lagi lokaliti di Petaling Jaya yang dikenakan PKPD selama dua minggu bermula 1 Julai hingga 14 Julai ialah Pangsapuri Westlite dan Taman Perumahan SS 91A, Sungai Way. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929