BAKU, Azerbaijan – Penyerang Republik Czech, Patrik Schick berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak Euro 2020 bersama bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dengan lima gol.
Bagaimanapun, Schick terpaksa menerima hakikat gagal untuk terus menambah koleksi jaringan apabila perjalanan mereka terkandas di peringkat suku akhir ekoran kekalahan 1-2 kepada Denmark di Stadium Olimpik Baku awal pagi semalam.
Selain Schick yang meledak satu gol dalam perlawanan itu, Ronaldo dan tiga lagi penjaring yang mengumpul empat gol iaitu Romelu Lukaku (Belgium), Karim Benzema (Perancis) serta Emil Forsberg (Sweden) kesemuanya sudah tersingkir daripada Euro 2020.
Kini tinggal tiga pemain yang dilihat berpotensi untuk memintas jumlah jaringan Schick dan Ronaldo iaitu dua bintang England, Harry Kane serta Raheem Sterling selain penyerang Denmark, Kasper Dolberg yang masing-masing mengumpul tiga gol.
“Saya sangat kecewa kerana akhirnya perjuangan kami berakhir. Saya melakukan apa yang terdaya buat pasukan dengan satu gol hari ini (awal pagi semalam) tetapi ia belum mencukupi,” kata Schick.
Bagaimanapun, Schick, 25, tidak perlu gusar kerana berjaya mencipta sejarah tersendiri muncul sebagai pemain Republik Czech pertama meledak jaringan terbanyak dalam satu edisi Euro mengatasi rekod lama dipegang Milan Baros iaitu empat gol.
Saham penyerang Bayer Leverkusen itu pastinya kembali melonjak dan menjadi buruan beberapa kelab Eropah antaranya AC Milan yang dilaporkan perlu membayar €40 juta (RM197.6 juta) untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
Situasi itu kembali memulihkan imej dan reputasi Schick yang pernah dianggap sebagai salah seorang penyerang gagal dalam saingan Serie A ketika mewakili AS Roma dari 2017 hingga 2020 sebelum berhijrah secara tetap menyertai Leverkusen. – AGENSI