fbpx

Kelindan lori dijel 3 bulan ugut, acu pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SELAYANG – Gara-gara mengugut sambil mengacukan pisau pada jirannya kerana perselisihan faham, seorang kelindan lori dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Seddek Md Sharif, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahakamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Seddek didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan serta berbaur provokasi seorang lelaki berusia 46 tahun yang merupakan seorang guru dengan niat mendatangkan ketakutan.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah unit pangsapuri di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, di sini pukul 6.20 petang pada 27 Jun lalu yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Kebangsaan Malaysia (YBGM) M. Mariappan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minima dengan alasan tertuduh menanggung kedua  ibu bapanya selain pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa pengadu sampai di hadapan rumahnya, dia mendapati tertuduh yang merupakan jiran sedang berdiri di antara rumah mereka.

Apabila pengadu ingin masuk ke dalam rumahnya, tertuduh telah memaki hamun pengadu dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan sambil mengacukan pisau kepada pengadu.K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI