PETALING JAYA – Luluh hati orang ramai apabila membaca kisah seorang wanita meminta bantuan bekalan susu dan lampin pakai buang untuk anaknya.
Lebih menyedihkan, wanita tersebut bukan meminta susu tepung bayi, tetapi dia meminta susu pekat (susu tin) untuk anaknya berusia dua tahun.
Kisah menyayat hati itu telah dikongsi oleh seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @mighvv di laman sosial itu kelmarin.
Menurut @mighvv yang juga pengasas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dia ada bertanya kepada wanita tersebut kenapa meminta bantuan susu tin untuk anaknya.
Balas wanita itu, dia hanya mampu membeli susu pekat sahaja kepada anaknya berusia dua tahun.
“Dulu saya bagi susu tepung, tapi sekarang saya langsung tidak mampu beli, saya bagi minum susu pekat sahaja,” jawab wanita itu kepada @mighvv.
Kisah sedih itu turut mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang rata-rata sedih dengan situasi yang dialami oleh masyarakat di negara ini sejak penularan pandemik Covid-19.
“Bertabahlah , saya pun dah merasa kecik-kecik minum susu pekat sahaja sebab keluarga susah. Semoga dipermudahkan segalanya,” kata Fitri Yusseri.
Pada masa sama, orang ramai turut menasihatkan wanita itu agar mengurangkan pemberian susu kepada anaknya dan lebihkan kepada pemakanan.
“Dua tahun dah boleh lebihkan pemakanan daripada susu, makan nasi, susu tu sekali dua je sehari.
“Bawah satu tahun je wajib susu tapi seeloknya susu badan, lebih jimat kan,” nasihat Mia Lynn.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929