fbpx

Graduan dari England nekad buka kafe tauhu bergedil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERMULA daripada menjual tauhu bergedil di rumah, wanita ini mampu membuka kafenya sendiri.

MELIHAT perkataan The Jenab Cafe pada papan tanda yang tergantung di atas sebuah kafe di Kubang Buaya, Kuantan, Pahang, pasti ramai yang teruja apabila mengetahui premis tersebut dimiliki oleh seorang anak muda berusia 27 tahun.

Lebih-lebih lagi apabila kafe milik Nor Hafizhatul Haq Mohd. Ruslan itu menjadi buah mulut orang ramai kerana dikatakan menghidangkan tauhu bergedil paling sedap di negeri tersebut.

Biarpun sebelum ini graduan jurusan Ijazah Sarjana Muda Architectural Technology and Practice dari Universiti Derby, England itu pernah dihujani sindiran daripada orang sekeliling kerana memilih untuk menjual tauhu bergedil berbanding bekerja dalam jurusan yang diambil sewaktu belajar, namun beliau berjaya membuktikan jalan yang dipilih itu tepat selepas kejayaannya membuka sebuah kafe.

“Sekembalinya di tanah air, saya bekerja di dalam bidang berkaitan tetapi ia hanya mampu bertahan selama dua bulan sahaja kerana pada waktu itu saya tidak seronok melakukan pekerjaan tersebut.

“Tambahan lagi saya perlu berjauhan dengan keluarga buat kali kedua.

“Apabila fikiran saya tidak tenang saya rasa tidak ikhlas melakukan pekerjaan tersebut dan saya fikir ia akan mengecewakan majikan kerana tidak dapat memberikan yang terbaik untuk syarikat,” katanya.

 

TAUHU bergedil Nor Hafizhatul Haq mendapat sambutan dalam kalangan pembeli.

Menurut anak keempat daripada enam orang adik-beradik itu, situasi tersebut membuatkan dirinya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarga di Kuantan.

Bermula dari saat itu, wanita yang mesra disapa Jenab ini melakukan pelbagai usaha untuk mencari pekerjaan sebelum dia akhirnya mengambil keputusan untuk menjual tauhu begedil secara kecil-kecilan di rumah.

“Saya memang suka memasak dan banyak mendapat tunjuk ajar daripada ibu dan kakak. Ketika melanjutkan pengajian di rantau orang dahulu, saya gemar memasak sehingga rakan-rakan menggelarkan saya sebagai diplomat tidak berbayar.

“Ini kerana, saya suka memasak dalam kuantiti yang banyak dan memberikannya kepada rakan-rakan antarabangsa termasuk pensyarah di fakulti. Secara tidak langsung saya telah memperkenalkan masakan dan budaya rakyat Malaysia kepada mereka.

“Mereka juga mengibaratkan saya sebagai seorang ‘ibu’ tatkala musim perayaan tiba. Sebagai contoh apabila kami menyambut Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan lain-lain di perantauan, saya akan pastikan kawan-kawan satu negara dapat menikmati makanan yang sama ketika mereka berada di Malaysia,” ceritanya.

Bermula dengan hanya membuat penghantaran menggunakan motosikal secara Cash on Delivery kepada pelanggan, Jenab menukar berjaya kenderaan penghantaran kepada kereta selepas tempahan diterima semakin bertambah.

“Bermula dengan 3 kilogram (kg) ubi kentang sehari sehingga 130 kg kentang digunakan untuk membuat tauhu bergedil.

“Saya upgrade cara kupas kentangdaripada cara manual kepada menggunakan mesin pengupas. Kaedah mengadun juga ditambah baik menggunakan mesin,” ujarnya lanjut.

Biarpun begitu, Jenab akui tidak lepas daripada menerima sindiran sinis daripada orang sekeliling.

“Mak bapak hantar belajar jauhjauh, balik Malaysia buat tauhu begedil je?. Itulah antara sindiran yang orangberikan.

“Tipulah kalau tidak patah semangat tetapi semakin lama, saya belajar yang saya perlu tutup telinga dan kurangkan bercakap apabila sesuatu yang negatif datang.

“Saya teringat pesanan seorang kawan iaitu kenapa perlu sibuk memikirkan kata-kata orang jika ia langsung tidak akan mengubah hidup kita walaupun sedikit,” katanya.

Tambahnya, setiap kali berasa sedih, dia akan baca kisah-kisah pengasas dan pemilik Syarikat Ramly Burger, Datuk Ramly Mokni untuk menyuntik semangat dan inspirasi bagi memperoleh kejayaan lebih gemilang suatu hari nanti.

“Mencabar juga memulakan perniagaan. Saya memang tidak beritahu sesiapa untuk membuka kedai makan, kecuali suami dan dua sahabat baik. Merekalah yang banyak membantu saya untuk memulakan perniagaan.

“Modal pula saya dapat daripada hasil simpanan saya berniaga tauhu begedil selama dua tahun.

“Apa-apa pun, kita perlu percaya pada diri sendiri dan yakin bahawa setiap langkah yang kita buat pasti merungkai satu persatu jawapan yang kita perlukan.

“Masa depan kita masih menjadi rahsia, terokailah walaupun destinasinya mungkin bukan seperti yang kita inginkan,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI