SETIAP kali tiba musim durian, topik yang paling rancak hendak dibualkan mengenai raja buah itu ialah tentang harganya.
Yang pelik, pihak yang bising itu merupakan orang yang tidak sanggup membelanjakan duit untuk membeli pada harga yang ditawarkan. Orang berduit rileks saja.
Mereka berpendapat, buat apa membazir hanya untuk membeli durian yang berat kulitnya hampir mencecah satu kilogram. Tambahan pula beberapa ulas isi yang ada di dalam buah itu hanya mengambil masa sekejap untuk dimakan. Rugi!
Macam-macam tohmahan dilemparkan kepada raja buah itu. Sedangkan ia hanya mengikut aturan alam yang hanya menjelma sekali setahun apabila tiba musimnya.
Kasihan kepada musang, kunyit, tupai, udang, IOI, kahwin, D24 dan lain-lain yang sering menjadi bahan umpatan.
Masalahnya, harga yang ditawarkan bukanlah mahal tetapi kita sebenarnya yang tiada duit untuk membelinya.
Ada kawan mengeluh kerana disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, dia tidak dapat pulang ke kampung di Negeri Sembilan untuk memenuhkan but Toyota Hilux miliknya dengan durian untuk dijual di Lembah Klang.
“Buat apa jual mahal, ayah aku jual sekilo RM13 boleh dapat berbelas ribu hasil daripada sembilan batang pokok durian kampung di ladangnya. Jual murah cepat habis,” katanya yang sangat konsisten berpegang teguh pada prinsip asas ekonomi itu sejak dahulu.
Ada yang malas membeli durian kerana sudah serik ditipu. Ketika penjual mengopek sedikit, nampak isinya yang lemak dan gebu tetapi bila pulang, yang gebu itu tadi hanya sedikit dan selebihnya keras dan tawar.
Orang yang mempunyai pokok durian dan berbuah lebat berasakan dialah yang berkuasa ketika ini. Ibarat Switzerland yang mendabik dada selepas mengalahkan kuasa besar bolasepak, Perancis dalam Euro 2020.
Dia boleh jual secara pajak, tepi jalan, borong dan isi sahaja dengan mengikut harga semasa.
Namun, jika dia seorang yang berlapang dada, dia boleh sahaja menjualnya pada harga di bawah pasaran kerana buah durian datangnya dari pokok yang sama saban tahun.
Tiada modal besar yang perlu dilaburkan dalam penjagaannya tidak seperti peniaga makanan yang setiap hari bergelut mengasingkan modal dan untung untuk membeli barangan basah.
Tenaga buruh pula tidak ramai. Pekerja hanya diperlukan untuk membersihkan kebun dan mengutip hasil sebelum dijual kepada peraih.
Ya peraih. Mereka ini yang sebenarnya bertanggungjawab menentukan turun naik harga durian di pasaran. Nilai durian menjadi sekali atau dua kali ganda selepas dicampurkan dengan segala macam kos. Akhirnya, pengguna yang menerima kesannya.
Pihak berkepentingan seharusnya berhenti menyokong penjualan harga melampau durian kayangan ini. Pengguna pula jangan mudah memuji atau mengeji makanan tanpa mengetahui apa di sebaliknya.
Kerana Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah memuji atau mengeji makanan sepanjang hayat baginda. – K! ONLINE