PETALING JAYA – Dua lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) masing-masing di Kampung Bagus, Pasir Mas, Kelantan dan Kampung Baru Batu 2, Tawau Sabah berkuat kuasa Rabu ini hingga 20 Julai depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 47 ujian saringan dan 23 orang penduduk di Kampung Bagus telah disahkan positif dengan kadar positiviti 48.90 peratus.
“Manakala sembilan kes positif direkodkan daripada 14 ujian saringan yang dijalankan di Kampung Baru Batu 2,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Penjara Sungai Udang kecuali kuarters penjara di Melaka; Kampung Ejuk, Kota Belud, Sabah; Kuarters Pekerja Balingian Power Generation, Mukah, Sarawak dan Kampung Warisan, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Julai hingga 20 Julai depan.
Dalam pada itu, PKPD di Kilang Sawit Cahaya Muda, Batang Padang, Perak; Blok 11, Kampung Titingan serta Batu 7 Jalan Tinagat di Tawau, Sabah tamat seperti dijadualkan esok.
Ismail berkata, PKPD di dua lokaliti di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak iaitu Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Kuarters Pekerja Mukah Palm Oil Mill yang dijadualkan tamat pada 13 Julai berakhir lebih awal esok.
“Setakat ini, KKM telah melakukan 278 ujian saringan dan 135 daripadanya disahkan positif Covid-19. KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929