fbpx

Doakan kami cepat dihalalkan – Sweet Qismina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SWEET QISMINA

BUKAN baru semalam pelakon genit itu masuk ke gelangggang industri. Tampil mempertaruhkan bakat seawal usia 10 tahun, semua itu cukup mematangkan pemilik nama pentas Sweet Qismina untuk memahami kehendak dan ‘permainan’ dunia glamor.

Boleh dikatakan sebagai pelakon yang agak senior pada usianya, Sweet masih relevan untuk berada dalam industri sebagai pendukung karakter utama.

Baru berusia 24 tahun, mungkin itu juga antara faktor yang melayakkan anak kelahiran Kuala Lumpur masih ‘laku’ bergelar heroin.

Jika tidak, masakan sebuah portal hiburan menamakan Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi itu antara lima heroin paling laris untuk tahun 2020.

KEKASIH kepada pelakon Adam Lee ini berkata, biarlah waktu dan jodoh yang menentukan saat terbaik untuk peralihan status hubungan mereka. – IHSAN EH! MALAYSIA

Penerimaan wajah baharu

Namun, setiap manusia ada kekurangan. Sweet juga begitu apabila kehadiran ramai wajah baharu, khususnya dalam kalangan pensohor media sosial mewarnai layar seni hiburan tempatan sedikit sebanyak menggugat kedudukan dirinya,.

Mereka bukan sahaja datang dengan pakej kecantikan, bahkan sudah mempunyai pengaruh kuat dengan ratusan ribu pengikut dalam laman sosial.

“Saya tidak ada masalah dengan kehadiran mereka (pelakon baharu), cumanya nanti saya akan berdepan dengan saingan sengit nanti.

“Mereka pula datang dengan pakej lengkap macam model. Jadi ada kekurangan dan kelebihan untuk diri saya sebagai pelakon sedia ada,” kata pelakon berketinggian 155 sentimeter itu.

Berkongsi pengalaman yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu, Sweet yang mula dikenali menerusi siri televisyen Hikayat Putera Shazlan sekitar tahun 2007 berkata, dia pernah ditanya pihak penerbit tentang jumlah pengikut dalam laman sosial ketika menghadiri sebuah sesi uji bakat.

“Ketika menghadiri sesi uji bakat tersebut, mereka bertanyakan tentang jumlah pengikut saya dalam laman sosial. Saya memang terasa pada waktu itu.

“Memang tidak nafikan saya terasa waktu itu bila bakat saya ‘dinilai’ berdasarkan jumlah pengikut dalam laman sosial.

“Perkara itu agak mengganggu pada awalnya dan dirasakan tidak patut,” ujarnya.

Bagaimanapun, Sweet akhirnya bersifat terbuka terhadap perkara itu kerana dia sendiri pun tidak tahu strategi atau permainan pihak produser mahupun stesen televisyen menilai seseorang pelakon itu berdasarkan jumlah pengikut mereka.

“Cuma kalau mereka (pelakon baharu) itu tidak ikhlas untuk menjadi pelakon dan hanya mengharap duit, perkara itu agak menyakitkan hati juga dan mengacau pihak lain.

“Soal bakat, perkara itu boleh diasah. Untuk saya pula, saya tetap akan terus berlakon dan lakukan yang terbaik selagi bakat saya diperlukan,” ujarnya.

SWEET tidak menafikan pernah berasa sedikit tergugat dengan kehadiran ramai pensohor media sosial yang berpakej ‘model’ masuk ke dalam industri, namun akhirnya bersikap terbuka.

Lantang?

Jelas terpampang ketegasan dalam dirinya. Sebab itu Sweet juga dilabel antara selebriti yang disifatkan agak lantang bersuara dalam media sosial.

Buktinya, tanpa gentar dia pernah menyuarakan kekesalan terhadap sistem pengambilan dan pemulangan buku teks di sebuah sekolah sehingga diperkatakan ramai.

Biarpun telah mengeluarkan permohonan maaf, kelantangan Sweet itu telah menyinggung perasaan golongan pendidik.

Tidak hanya sekali, Sweet sekali lagi menjadi perhatian dalam laman Twitter apabila secara terbuka mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan lawatan kerja ke Indonesia sehingga mendapat kecaman daripada netizen.

Atas kelantangan itu, pasti sedikit sebanyak akan menjejaskan statusnya sebagai selebriti yang dinilaikan netizen ‘cerewet’ dan tidak sensitif.

Memberi respons terhadap tuduhan tersebut, Sweet sedar dan mula belajar daripada kesilapannya.

“Untuk mereka yang mengikuti saya dalam Twitter pasti akan tahu bahawa sejak dari dahulu saya memang akan bersuara tentang apa sahaja yang dirasakan tidak betul. Tapi sejujurnya saya tidak sangka dua status tersebut mendapat perhatian masyarakat.

“Jadi ini menunjukkan Twitter saya antara platform sosial media yang diperhatikan ramai. Sebenarnya saya bersuara dan memberi pendapat sama seperti orang lain. Saya juga rakyat Malaysia.

“Tidak semua perkara yang saya lantangkan itu dipersetujui ramai pihak. Jadi selepas ini saya akan lebih berhati-hati supaya tidak mengguris hati sesiapa,” luahnya.

Sejak daripada kejadian tersebut, Sweet mula memperlahankan sedikit rentaknya dalam Twitter.

Dia sedikit bimbang akan mencetuskan rasa menyampah dan dilihat sebagai individu yang asyik mencari kesalahan orang lain.

“Pada saya bersuara itu tidak salah. Tapi saya ambil langkah selamat untuk memelihara mental saya daripada dikecam masyarakat. Saya faham tidak semua orang sukakan saya,” katanya jujur.

PELAKON genit ini adakalanya akan bersikap lantang dalam laman sosial tentang sesuatu isu yang dirasakan tidak kena pada matanya.

Perkahwinan

Umum mengetahui, si pemilik senyuman manis ini sedang menjalinkan hubungan cinta bersama pelakon, Adam Lee.

Selepas bergandingan dalam drama Adam Chempaka sekitar pada 2019, kini hubungan mereka sudah tidak perlu disembunyikan lagi.

Di mata keluarga mahupun peminat, percintaan mereka bukan lagi rahsia.

Adam sebelum ini pernah memaklumkan mahu menyunting si kekasihnya menjadi isteri dalam tempoh dua tahun lagi.

Seakan-akan terkejut, namun Sweet tidak menolak jika itu takdir yang telah diatur bersama Adam.

“Itu semua ketentuan-Nya. Kita hanya merancang. Sama ada dua, tiga atau empat tahun sekalipun, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana.

“Saya terima saja. Lagi pun saya bukannya muda sangat pun. Tetapi tidaklah terlalu tua,” katanya berseloroh.

Kata pelakon yang pernah membintangi drama Pink Smile itu lagi, dia cuma mahukan yang terbaik untuk diri sendiri dan menerima jodohnya aturan Tuhan.

“Doakanlah kami supaya cepat-cepat dihalalkan,” katanya ringkas.

SELEPAS lebih 10 tahun berada dalam industri, Sweet boleh dinilai antara pelakon senior yang masih mendapat tempat bagi memegang watak heroin dalam naskhah drama tanah air.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI