fbpx

Cuba bunuh diri, kecewa hidap barah payudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gadis berusia 19 diselamatkan pihak bomba selepas cuba membunuh diri rumahnya di Kampung Jelatok, Tanah Merah semalam. Foto : IHSAN BOMBA

TANAH MERAH – Seorang gadis bertindak mengurung dan cuba membunuh diri dengan menggunakan sebilah pisau di rumahnya di Kampung Jelatok di sini malam tadi selepas disahkan menghidap barah payudara.

Remaja berusia 19 tahun itu dipercayai bersedih dan tertekan selepas menerima rawatan di Hospital Tanah Merah pagi semalam sebelum bertindak mengurung diri di dalam biliknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Rafain Mat Zain berkata, bimbang dengan keadaan mangsa yang mengurung diri sepanjang hari, keluarganya telah menghubungi pihak bomba untuk bantuan malam tadi.

Katanya, lapan anggota bomba tiba di rumah mangsa pada pukul 11.46 malam tadi dan mendapati mangsa berada seorang diri di dalam bilik yang berkunci.

“Berdasarkan keterangan keluarganya, remaja itu cuba membunuh diri dengan menggunakan pisau.

“Anggota bomba telah bertindak memecahkan pintu bilik sebelum memujuk dan menenangkan remaja itu sebelum mangsa menyerahkan pisau yang dipegangnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Rafain, mangsa didapati berada dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi menyelamat mangsa tamat kira-kira pukul 1 pagi tadi. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI