fbpx

Wanita hidup derita selepas ditinggalkan suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norwaheda menurunkan bendera putih selepas menerima bantuan kit makanan daripada beberapa pihak yang hadir menyantuninya, di Taman Merdeka, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang wanita yang hidup atas ihsan jiran di Taman Merdeka di sini sejak tahun lalu terpaksa melalui hidup yang sukar sejak ditinggalkan suami termasuk mengutip buah mangga yang gugur di tepi jalan untuk makan bersama empat anaknya.

Norwaheda A. Rahim, 40, berkata, episod pergelutan keluarganya bermula selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu mengakibatkan dia hilang sumber pendapatan menjual kuih-muih di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, dia dan empat anaknya berusia antara dua hingga 15 tahun kemudian ‘mengisi’ perut atas ihsan jiran tetangga, selain mengutip buah mangga yang gugur di kawasan awam di tepi jalan.

“Sebelum ini saya kutip buah-buah mangga yang gugur di tepi jalan, sekali-sekala ada yang menghulurkan sumbangan dan digunakan untuk membeli telur dan sardin.

“Pelbagai jenis masakan saya buat menggunakan lauk sama termasuklah telur sambal, telur masak lemak, telur kicap. Namun, semalam memang kami dah tak ada apa-apa untuk dimakan, sehinggalah ada yang beritahu saya untuk kibarkan bendera putih menggunakan tudung sekolah anak,” katanya.

Tambahnya, tindakannya mengibarkan bendera putih itu disedari seorang anggota polis unit peronda yang melalui kawasan perumahan itu kira-kira 15 minit kemudian.

Menurut Norwaheda, dia tidak sangka selepas itu ramai yang datang menghulurkan bantuan.

“Rumah ini juga bukan milik kami tetapi seorang rakan saya yang tidak lagi menetap di Melaka dan mengizikan kami ‘berteduh’ di sini. Namun, rumah ini tidak mempunyai bekalan air, mahupun elektrik selama tiga tahun,” katanya.

Jelasnya, dia hanya mengambil bekalan air di surau berhampiran menggunakan tong kecil dan berjimat.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI