SPIELBERG – Pemandu Red Bull, Max Verstappen dilihat semakin sukar dicabar apabila meraih kemenangan hatrik perlumbaan Formula Satu (F1) selepas muncul juara pada Grand Prix (GP) Austria di Litar Red Bull Ring sebentar tadi.
Kemenangan tersebut memastikan Verstappen terus mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu kejuaraan dunia F1 apabila memenangi tiga perlumbaan berturut-turut pada GP Perancis, Styria dan Austria selain dua kemenangan bagi GP Emilia Romagna dan Monza.
Pada perlumbaan tadi, selepas memulakan saingan di petak pertama, pelumba dari Belanda itu langsung tidak dicabar apabila menguasai sepenuhnya perlumbaan sejak awal hingga ke garisan penamat.
Meskipun pemandu Mercedes AMG Petronas, Lewis Hamilton cuba mengejar, namun Verstappen tetap tenang serta melakukan percaturan terbaik untuk terus menjarakkan diri, manakala Hamilton terus berdepan masalah apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat.
Rakan sepasukan Hamilton, Sebastian Bottas menamatkan saingan tempat kedua, manakala pemandu McLaren, Lando Norris yang memulakan saingan petak kedua mengakhiri perlumbaan podium tempat ketiga.
“Saya sangat teruja beraksi di hadapan ribuan penonton menyaksikan perlumbaan hari ini. Sangat luar biasa dan saya gembira meraih kemenangan di sini sekali lagi.
“Sangat menyeronokkan untuk bersaing di sini dan saya berbangga pada diri saya sebagaimana menjuarai perlumbaan ini. Bagi saya ia bukan satu tugas mudah ketika anda menjadi pemandu pilihan. Dua minggu ini sungguh luar biasa,” kata Verstappen.
Menerusi kemenangan kelima musim ini, Verstappen terus unggul memimpin carta kejuaraan dunia apabila mengumpul 182 mata, diikuti Hamilton dengan 150 mata, manakala seorang lagi pelumba Red Bull, Sergio Perez di tempat ketiga menerusi 104 mata. – AGENSI