JELI – Upah sebanyak RM1,000 untuk sekali penghantaran daun ketum dari Kedah ke Kelantan dipercayai menarik minat dua lelaki untuk membawa bekalan bahan itu seberat 1.2 tan masuk secara haram ke negeri ini.
Kedua-dua suspek ditahan dalam tangkapan berasingan di sekatan jalan raya (SJR) Batu 6, Batu Melintang di sini semalam dan kelmarin selepas menyembunyikan muatan ketum di dalam sebuah lori dan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin berkata, dalam tangkapan pertama pada pukul 1.30 pagi kelmarin, polis menahan sebuah lori selepas curiga dengan muatan yang dibawa pemandu yang berusia 28 tahun ketika tiba di SJR itu.
Katanya, pemeriksaan di ruang muatan mendapati lori itu membawa muatan anak pokok kelapa sawit sebelum menjumpai 100 bungkus plastik hitam yang terlindung disebalik tumbuhan tersebut.
“Berdasarkan pemeriksaan lanjut, plastik-plastik itu mengandungi daun ketum seberat satu tan. Pemandu menggunakan anak pokok kelapa sawit yang dibungkus dengan polibeg diletakkan di sekeliling bungkusan ketum bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan lelaki itu kini direman selama empat hari bermula Jumaat lalu sehingga esok,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli di sini hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929