fbpx

Sisi dewasa, jiwa bebas Aedy Ashraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AEDY ASHRAF

NASKHAH Tentang Bulan arahan sutradara terkenal Ahmad Idham yang menemui khalayak 15 tahun lalu telah memperkenalkan sepasukan bakat cilik yang bukan sekadar tangkap muat. Masa bergulir, nama-nama seperti Aedy Ashraf, Faten Afeefa dan Elfira Loy antara yang masih menukilkan karier tersebut saat ini.

Sungguh, pendedahan terhadap satu daripada disiplin seni paling popular di dunia itu pada usia ‘hingusan’, ilmu yang dikutip sejak lama dahulu meletakkan kedudukan siapa mereka pada hari ini. Kejayaan dan pengaruh yang terserlah mungkin tercanai oleh pengalaman mahal masing-masing.

Tidak berniat untuk menceritakan perihal kesemua nama pelakon hebat yang disebutkan tadi, perhatian lebih diberikan kepada jejaka kelahiran Tumpat, Kelantan ini.
Aedy Ashraf.

Satu potong nama yang sedang memukul gendang dalam gelanggang seni lakonan tanah air dengan persembahan berbekas di hati ramai ketika ini.

Bersembang secara maya bersama pemilik nama sebenar Mohammed Zaedy Ashraf Rosmadi tempoh hari, Aedy bercakap dalam nada yang cukup dewasa.

Dia mahu memberikan hasil terbaik selagi mana bergelar pelakon.

“Diam tak diam sekarang sudah hampir 20 tahun saya berlakon.

“Sekarang saya mula nampak beberapa peluang untuk menjadi lebih selektif dalam soal watak dan lakonan.

MEMBAWAKAN watak remaja walaupun sudah agak dewasa memberikan satu kepuasan buat jejaka berusia 28 tahun itu.

Kelainan

“Kalau ikutkan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya sudah mula ‘memilih’ sebelum menerima sesuatu tawaran,” katanya membuka bicara bersama Pose.

Meneruskan perbualan, Aedy menyifatkan pendekatan sebegitu penting sebagai lonjakan dan mencipta momentum kelainan kepada siapa dirinya selama ‘Aedy Ashraf’ tumbuh di mata penonton.

Jelasnya, kerjaya lakonan yang sudah menjadi darah daging dan sebahagian daripada hidupnya perlukan perubahan agar tidak mendatar sahaja.

“Bahasa mudahnya saya seboleh-boleh nak elak timbul rasa bosan terhadap kerjaya yang dipegang sekarang ini.

“Bukan mahu mendabik dada apatah lagi bercakap besar, sejak mula berlakon pada usia 10 tahun, pelbagai watak pernah saya bawa dan jayakan.

JEJAKA ini tidak mahu statik, sebaliknya mencari satu dimensi bagi untuk tumbuh di mata penonton.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk saya mula selektif dan buat benda-benda yang saya suka dan rasa nak buat,” ujarnya.

Pelakon drama fenomena Budak Tebing itu berasakan apa yang dilakukan itu bukan sahaja akan memberi impak terhadap kerjaya seni, malah seluruh kehidupannya kelak.

Aedy yang turut pernah berlakon dalam filem pecah panggung seperti Jutawan Fakir dan Tangkai Jering turut mengambil serius perhatian dan pendapat ramai khususnya dalam naskah yang dijayakan.

“Saya akui selama ini hanya berlakon saja. Kadang-kadang saya alpa mungkin ada watak yang kurang menjadi atau naskhah yang tidak berjaya menarik perhatian penonton.

“Justeru, saya mula duduk meneliti dan mula memilih naskhah yang betul-betul bersesuaian. Bukan itu saja, saya juga lebih bebas memilih watak dan dengan siapa yang saya ingin bekerjasama,” katanya.

AEDY tiada masa untuk memikirkan soal hati dan perasaan kerana mahu kekal fokus terhadap kerjaya yang sudah dianggap sebagai darah dagingnya.

Remaja

Tidak dinafikan, walaupun semakin meningkat dewasa dan bakal menginjak usia 28 tahun September nanti, Aedy terus-menerus menerima tawaran menjayakan watak sebagai remaja.

“Jika ditanya, jujur saya suka watak-watak remaja. Bahkan, hingga kini pun banyak tawaran lakonan untuk watak remaja yang saya terima.

“Walaupun sudah dikategorikan sebagai dewasa, saya bangga kerana masih boleh diberikan kepercayaan membawakan watak remaja berusia 17 tahun,” tuturnya pemain watak Aizat dalam Projek: Anchor SPM itu.

Bagi Aedy, membawakan watak sebagai remaja bukan hanya sekadar pada lakonan tetapi ada mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada golongan tersebut.

Dia mahu mesej daripada perwatakan dan karakter yang dijayakan, setidak-tidaknya boleh diambil menjadi contoh dan ikutan positif buat penonton.

Butiran daripada luahan Aedy itu dapat dilihat menerusi kisah sekumpulan remaja yang sedang dipersembahkan menerusi drama bersiri Budak Tebing 2 ketika ini.

AEDY kini lebih selektif dalam pemilihan watak untum dipersembahkan dalam karya akan datang.

Tonki, konflik

Beritahu Aedy, menerusi drama Budak Tebing 2, dia masih diberi kepercayaan pengarah untuk memegang watak sebagai Tonki.

“Kalau kita nak bandingkan antara musim pertama dan kedua, ada banyak kelainan, kejutan dan konflik yang ditampilkan kali ini.

“Sebelum ini, temanya lebih kepada persahabatan, sekarang lebih kepada kekeluargaan.

“Jadi penonton dapat melihat sendiri bagaimana Tonki mengambil berat terhadap keluarganya,” katanya.

Budak Tebing 2 yang menghiasi slot Lestary TV3 turut dibintangi Adam Lee, Eyka Farhana, Bella Dowanna, Firdaus Ghufran dan Fariz Isqabdar selain menampilkan beberapa pelakon senior lain seperti Fauzi Nawawi dan Syafie Naswip.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI