PUTRAJAYA – Kementerian Luar menyifatkan sumbangan sejuta dos vaksin Covid-19 oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebagai bukti kerjasama kukuh dalam memerangi pandemik itu.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Wisma Putra mengalu-alukan ketibaan dos jenis Comirnaty keluaran firma Pfizer-BioNTech tersebut ke negara ini esok.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan sejawat saya, Setiausaha Negara, Antony Blinken,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan AS kerana ia akan membantu dalam meningkatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan Malaysia.
Terdahulu, Malaysia turut menerima sejumlah sejuta dos vaksin jenis Covishield keluaran syarikat AstraZeneca yang disumbangkan oleh pihak kerajaan Jepun pada Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, AS menerusi kedutaannya di Kuala Lumpur juga menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada negara ini sejak wabak itu melanda tahun lalu.
“Ini termasuklah kelengkapan perubatan, sut peralatan perlindungan peribadi dan mesin yang berkaitan dengan jumlah nilai keseluruhannya AS$250,000 (RM1.04 juta),” ujarnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929