PETALING JAYA – Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan keluar untuk menerima suntikan vaksin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penduduk yang mempunyai janji temu vaksinasi dibenarkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi tujuan vaksinasi.
“Bagaimanapun, penduduk-penduduk yang dipakaikan gelang pink dan menunggu keputusan ujian saringan, tidak dibenarkan keluar untuk urusan vaksinasi.
“Bagi memudahkan urusan mereka, pihak polis menasihati penduduk supaya menyemak serta mendapatkan maklumat dengan pegawai bertugas di kawasan PKPD tersebut atau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) masing-masing sekiranya timbul sebarang masalah atau kekeliruan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis juga menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang membenarkan penduduk keluar dari kawasan berkaitan atas sebab yang membabitkan sektor keselamatan, kesihatan, kecemasan serta kebajikan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929