fbpx

Pemain balas kepercayaan Enrique

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPANYOL menempah slot separuh akhir Euro 2020 selepas berjaya menundukkan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti. – AFP

SAINT PETERSBURG – Ketua jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menegaskan beliau menaruh sepenuh kepercayaan kepada penjaga gol, Unai Simon ketika menyingkirkan Switzerland di pusingan suku akhir Euro 2020.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Krestovsky awal pagi semalam, La Roja mara ke separuh akhir apabila menang 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Kata Enrique, beliau me­nyerahkan 100 peratus kepada pemain bagi menentukan siapa yang akan mengambil sepakan penalti selain mengharapkan kecekapan Simon mengawal pintu golnya.

“Apabila perlawanan perlu ditentukan menerusi sepakan pe­nalti, ia tidak lagi bergantung kepada perancangan saya. Semuanya ditentukan oleh pemain sendiri mengenai barisan yang akan menyempurnakannya.

“Tugas saya ketika itu ha­nyalah bertenang dan tunggu apa yang akan berlaku selain mengharapkan penjaga gol bertindak cemerlang pada aksi penentuan itu,” kata bekas pengendali Barcelona itu.

Meskipun mengakui agak cemas ketika pemain tengah, Sergio Busquets gagal menyempurnakan sepakan pertama, namun dia masih menaruh kepercayaan kepada pemain-pemain lain bagi menyelesaikannya.

Tambahnya, beliau juga yakin dengan kemampuan Simon untuk berdepan situasi itu kerana sering menyaksikan pemain tersebut bertindak cemerlang ketika beraksi bersama kelab.

“Ramai orang cakap pe­nalti adalah pertaruhan, namun ia juga bergantung mengenai bagaimana anda mampu untuk berdepan dengan tekanan serta penjaga gol.

“Setiap jurulatih akan anggap penjaga gol adalah wira dalam si­tuasi ini. Sudah banyak kali saya lihat dia (Simon) menyelamatkan sepakan penalti bersama (Atheltic) Bilbao, jadi saya agak tenang ketika itu,” ujarnya.

Pada penentuan sepakan pe­nalti itu, Mikel Oyarzabal menja­ringkan gol kemenangan Sepanyol manakala Fabian Schar, Manuel Akanji dan Ruben Vargas gagal untuk menewaskan Simon.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI