PETALING JAYA – Pelakon serba boleh, Nabila Huda mengakui banyak perkara positif berlaku dalam hidupnya sepanjang hampir dua tahun pandemik Covid-19 melanda negara ini.
Menerusi entri di Instagramnya, Nabila atau lebih dikenali sebagai Abil berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu membawa perubahan lebih-lebih lagi dalam aktiviti rutin hariannya.
“Di kala PKP yang sudah hampir memasuki dua tahun ini, kadang-kadang rasa tertekan dan tidak bebas. Hidup dalam ketakutan dan penuh tanda tanya.
“Tetapi, dalam tempoh tersebut juga terlalu banyak perkara sudah berubah. Saya berubah menjadi manusia yang lebih baik. Perangai dan sikap berubah, gaya hidup pun berubah dan lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, pelakon filem Munafik itu memberitahu, dia kini lebih banyak menghabiskan masa beribadah berbanding sebelum ini.
“Dalam tempoh PKP ini juga Abil sudah mula mengaji dan belajar kitab setiap hari bersama anak (Keisha) dan beberapa kawan baik.
“Memang langsung tak pernah terlintas benda (perubahan) ini,” katanya.
Jelas Abil, dia juga sudah mula menunaikan solat dengan sempurna walaupun mengakui adakalanya tidak mencukupi lima waktu.
“Saya masih lagi berusaha (mencukupkan solat lima waktu),” katanya.
Menjengah di ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan perkongsian yang dibuat anak kepada penyanyi rock legenda, Amy Search itu.
“Walaupun Covid-19 ini meragut kebebasan dan memeritkan, tetapi diam tak diam banyak sebenarnya perkara positif dan baik-baik yang dapat kita pelajari,” tulis peminatnya.
Terdahulu, kerajaan melaksanakan PKP 1.0 pada 18 Mac tahun lalu seterusnya melanjutkan ke fasa kedua pada awal Januari tahun ini dan kini negara sedang melalui fasa ketiga bekuat kuasa pada 1 Jun lalu.