MUNICH – Perancang tengah Belgium, Kevin De Bruyne menganggap masalah kecederaan yang menghantui mereka adalah punca utama tersingkir daripada Euro 2020 selepas tewas 1-2 kepada Itali pada suku akhir di Allianz Arena awal pagi semalam.
Bintang Manchester City itu percaya perjalanan Red Devils dalam kempen Euro 2020 mampu pergi lebih jauh jika tidak disebabkan kecederaan dialami Eden Hazard, Timothy Castagne dan Axel Witsel.
Masalah hamstring punca Hazard tidak turun beraksi menentang Itali sementara Castagne pula cuma bermain aksi pembukaan kerana kecederaan mata, manakala Witsel pula belum mendapat tahap kecergasan terbaiknya.
“Secara peribadi, saya menganggap kami mengalami terlalu banyak masalah untuk memberikan aksi 100 peratus pada saingan Euro kali ini.
“Saya sendiri masih belum pulih daripada kecederaan koyak ligamen buku lali tetapi pasukan perubatan terpaksa bekerja keras memastikan saya dapat bermain menentang Itali.
“Mudah bagi sesetengah orang mengkritik kami tetapi kami telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan ini. Kami hampir-hampir berjaya menyamakan kedudukan tetapi saya anggap ia bukan tuah kami,” kata De Bruyne.
Justeru, De Bruyne menggesa rakan-rakan sepasukannya supaya bangkit daripada kekecewaan itu dengan mencuba sekali lagi pada Piala Dunia 2022 di Qatar nanti.
Sebagai rekod, dua gol Itali daripada Nicolo Barella dan Lorenzo Insigne bukan sahaja menyingkirkan Belgium tetapi turut memadam rekod tanpa kalah pasukan ranking pertama dunia itu dalam 13 perlawanan antarabangsa. – AGENSI