SEPANG – Prihatin dengan golongan yang terjejas, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang tampil menyampaikan bantuan kebajikan makanan kepada 14 pekerja sebuah kilang yang dikuarantin di Taman Bunga Raya di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, bantuan kebajikan berbentuk makanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita, yang merupakan kakak kepada salah seorang penerima.
“Wanita itu memaklumkan bahawa adiknya yang bekerja di sebuah kilang di Bandar Baru Salak Tinggi telah kehabisan bekalan makanan ketika dikuarantin di sebuah rumah di Taman Bunga Raya, dekat sini.
“Turut tinggal bersama adik pengadu ialah 13 orang lagi rakannya yang juga pekerja kilang sama dan dikuarantin di rumah tersebut,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook IPD Sepang di sini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat tersebut, polis telah mengambil tindakan susulan dengan mengarahkan supaya bantuan makanan dihantar ke rumah tersebut segera.
“Sehubungan itu, lebih kurang pukul 9.15 malam semalam anggota tugas unit kereta peronda polis (MPV) IPD Sepang sampai ke premis tersebut dan menyerahkan 16 bungkus nasi berlauk kepada penghuni rumah,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929