JITRA – Empat kaki judi ditahan manakala beberapa lagi suspek sempat melarikan diri selepas polis menyerbu sebuah pondok kayu di dalam kebun getah berdekatan Taman Bersatu di sini, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 5.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, empat lelaki berusia antara 33 hingga 60 tahun itu ditahan ketika sedang bermain judi di lokasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan berkenaan disyaki menjadi lokasi baharu geng itu berjudi selepas tempat tumpuan mereka di kebun getah Kampung Naga di sini diserbu, baru-baru ini.
“Hasil semakan juga mendapati kebanyakan mereka datang dari kawasan Jitra yang mana dua daripada mereka juga pernah ditahan kerana berjudi sebelum ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rodzi berkata, turut dirampas wang tunai RM2,750, sebuah meja kayu, lima kerusi plastik, kain kanvas bercetak angka, cawan dan piring seramik putih dan tiga dadu. – K! ONLINE