LONDON – Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kemaraan ke pusingan keempat Kejuaraan Wimbledon selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat (AS), Denis Kudla awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, atlet kelahiran Serbia yang juga juara Grand Slam sebanyak 19 kali itu memerlukan masa selama dua jam 16 minit sebelum dapat menewaskan Kudla dengan kemenangan straight-set 6-4, 6-3, 7-6.
Kata Djokovic, meskipun meraih keputusan straight-set, prestasi yang dipamerkan tidak begitu positif selain Kudla juga berjaya memberikan tentangan yang cukup sengit apabila mampu membalas setiap pukulan yang dilakukan dengan baik.
“Saya tidak begitu berpuas hati dengan prestasi peribadi kerana memulakan saingan kali ini dengan perlahan khususnya pada set pertama terutama apabila melihat Kudla mempamerkan aksi cukup positif dengan mudah membalas pukulan saya.
“Strategi dan pergerakannya yang agresif di gelanggang turut memberi kesukaran buat saya tetapi kemungkinan besar faktor pengalaman memastikan saya mampu memenangi perlawanan ini dengan keputusan straight- set.
“Apa yang pasti, pujian juga wajar diberikan kepada Kudla kerana pada set ketiga dia boleh meraih kemenangan di penentuan tie-break tetapi mungkin nasib tidak memihak kepadanya dan saya ucapkan selamat maju jaya,” kata Djokovic.
Sementara itu, pemain meningkat naik dari Kanada, Denis Shapovalov menunjukkan ‘jalan keluar’ buat wakil tuan rumah, Andy Murray selepas meraih kemenangan straight-set 6-4, 6-2, 6-2 pada aksi pusingan ketiga awal pagi semalam.
Kata Shapovalov, prestasi yang dipamerkan ketika menang ke atas Murray adalah yang terbaik dalam kariernya kerana bukan mudah untuk menyingkirkan pemain yang dianggap sebagai antara idola tenis di pentas antarabangsa.
“Saya perlu memberikan aksi seratus peratus di atas gelanggang kerana sedar apa sahaja boleh berlaku terutama apabila anda bertemu dengan pemain berpengalaman seperti Murray yang dianggap sebagai legenda tenis antarabangsa selain juara dua kali di Wimbledon.
“Secara jujur, saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan saya kerana Murray adalah salah seorang idola saya ketika remaja dan percubaannya untuk kembali bersaing kompetitif selepas mengalami kecederaan panjang wajar dicontohi oleh atlet muda seperti saya,” katanya. – AGENSI