BAKU – Denmark dilihat berpeluang mengulangi pencapaian menjuarai trofi pada saingan 29 tahun lalu apabila melangkah ke separuh akhir Euro 2020 selepas menewaskan Republik Czech 2-1 di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan sebentar tadi.
Pada perlawanan tersebut, Denmark melakukan kejutan apabila terlebih dahulu membuka jaringan pembukaan seawal minit kelima menerusi tandukan cantik pemain tengah, Thomas Delaney untuk menewaskan penjaga gol Republik Czech, Tomas Vaclik.
Tersentak dengan keadaan tersebut, Republik Czech cuba mencari gol penyamaan, namun tindakan itu serba tidak menjadi apabila dilihat gagal menembusi benteng pertahanan Denmark.
Denmark yang dibimbing Kasper Hjulmand terus selesa mengemudi separuh masa pertama apabila meraih gol kedua mereka menerusi jaringan Kasper Dolberg selepas bijak menyudahkan hantaran cantik Joakim Maehle pada minit ke-42 .
Bersambung babak kedua perlawanan, Republik Czech yang dibimbing Jaroslav Silhavy terus melakukan pertukaran drastik dan melancarkan serangan sebaik perlawanan dimulakan dan beberapa kali menguji penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel.
Kerja keras yang dilakukan Republik Czech akhirnya membuahkan hasil apabila Patrick Schick meledak gol pada minit ke-49 selepas bijak mengatasi pertahanan Denmark sekali gus menewaskan Schmeichel.
Jaringan tersebut meningkatkan semangat Republik Czech dan terus meningkatkan tempo permainan, namun tidak berupaya untuk mencari gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan bagaimanapun terus melancarkan serangan pada enam minit masa tambahan perlawanan, namun kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan.
Kemenangan Denmark sudah pasti melonjakkan semangat mereka untuk membawa pulang trofi Euro selepas pernah menjuarai saingan terbesar itu pada tahun 1992 dengan menewaskan Jerman 2-0 di perlawanan akhir. – K! ONLINE