fbpx

Cabut nyawa sendiri, selebriti bagi pandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DARI kiri. Azzam Sham, Ella, Sarimah dan Catriona.

KES bunuh diri yang berlaku di Malaysia hari ini berada pada tahap membimbangkan sehingga menjadi kerunsingan masyarakat tentang trend menunjukkan peningkatan tersebut.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, secara purata sebanyak dua kes bunuh diri direkodkan setiap hari bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021.

Ditambah dengan kemelut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan ekoran penularan pandemik Covid-19 menjadikan bunuh diri sebagai jalan pintas keluar daripada belenggu hidup.

Apa sebenarnya faktor yang menyebabkan seseorang itu mengambil keputusan drastik untuk menamatkan riwayat sendiri?

Rata-rata siasatan mendapati, kes bunuh diri dalam kalangan anggota masyarakat terjadi disebabkan beberapa faktor antaranya diulit masalah kewangan, kesihatan, tekanan perasaan, kemurungan dan masalah keluarga.

Kemelut bunuh diri juga mendapat perhatian dalam kalangan selebriti tempatan apabila turut menyuarakan kebimbangan atas apa yang berlaku.

Tidak sekadar menambah konten kandungan media sosial masing-masing, mereka menggunakan pengaruh yang ada untuk mencari penyelesaian bersama.

Catriona Ross

Pelakon Catriona Ross misalnya baru-baru ini berharap trend bunuh diri yang tidak seharusnya menjadi ‘trend’ akan membuka mata Perdana Menteri dan seluruh pemimpin negara tentang betapa seriusnya kesukaran rakyat ketika ini.

“Apa yang berlaku di Sabah (Pilihan Raya Negeri) tahun lalu tidak seharusnya berlaku. Perkara tersebut yang membuatkan kita terpaksa menghadapinya pada tahun 2021.

“Sama ada anda (kerajaan) mahu mengaku atau menafikan, fakta tetap menjadi fakta,” tulis pemilik nama Catriona Norhayati Ross Bahrin itu dalam Instagramnya.

Pada hantaran sama, pelakon drama fenomena Pujaan Hati Kanda itu turut melahirkan kepiluan hati dan kegusaran terhadap kes bunuh diri yang semakin meningkat.

Katanya, tiada sesiapa pun yang mati begitu.

“Kes bunuh diri semakin tinggi dan saya menjadi sangat sedih apabila mendengar tentang hal ini. Tiada siapa yang layak mati seperti itu,” katanya.

Ella

Bukan hanya Catriona, perasaan sama turut dikongsikan Ratu Rock Malaysia, Ella.

Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 56, untuk menangani masalah tersebut, masyarakat seharusnya sama-sama memainkan peranan dengan sentiasa mengambil berat dan selalu bertanya khabar terhadap golongan terjejas.

Bahkan, Ella berpendapat bahawa masalah kebimbangan dan kemurungan merupakan pembunuh senyap yang sangat membimbangkan ketika ini.

“Tekanan perasaan bukan mainan, jangan perkecilkan keperluan anda atau sesiapapun untuk mendapat sokongan dan bantuan,” katanya.
Dakwanya lagi, selain bantuan kewangan, golongan tersebut juga memerlukan rakan untuk berbual berkongsi masalah.

Azzam Sham

Penyanyi muda Azzam Sham pula menyeru agar masyarakat agar lebih peka dan prihatin untuk terus menyebarkan rasa kasih sayang.

Penyanyi lagu Cinta Jangan Pergi itu berasa takut apabila mendengar banyak berita bunuh diri pada waktu ini.

“Saya takut dengar banyak berita bunuh diri sekarang ini. Saya tahu, waktu-waktu begini, susah untuk kita semua,” katanya.

Dalam pada itu, Azzam turut menitipkan nasihat kepada masyarakat supaya kembali kepada Tuhan dengan memperbanyakkan doa dalam berdepan dugaan hidup.

“Ingat. Putus harap bukan jalan yang terbaik dalam kehidupan kita sekarang ini.

“ Tolong doa dan banyak-banyak sabar. Apa-apa keputusan balik kepada Allah SWT ya,” tulisnya.

Sarimah

Pelakon, pengacara dan juga aktivis kemanusiaan, Che Puan Sarimah Ibrahim turut tidak terkecuali menzahirkan keprihatinan peningkatan angka kes bunuh diri di negara ini yang dikaitkan dengan masalah gangguan mental dan masalah kewangan sepanjang pandemik.

Menurut Sarimah yang juga penaung Pertubuhan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia dalam satu kenyataannya baru-baru ini menasihatkan orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan dengan doktor pakar jika mempunyai gejala gangguan mental.

Ujar Sarimah, masyarakat kebiasaannya tidak tahu bahawa mereka mempunyai masalah. Sementara yang tahu mungkin sekadar pergi jumpa doktor pakar dan ambil ubat sahaja.

“Jadi macam mana nak kesan punca gejala tersebut?

“Nanti mungkin dia akan lebih cenderung masuk balik ke fasa kemurungan ataupun lain-lain. Rawatan perlu konkrit dan jangan tunggu penyakit sudah memudaratkan diri,” katanya.

Ujarnya lagi, sekiranya masalah mental itu tidak diselesaikan, masalah lebih besar akan timbul seperti kemurungan dan bunuh diri.

Sifat cakna selebriti popular ketika ini selayaknya dipuji. Bukan sahaja kata-kata semangat, bahkan mereka turun padang. Paling tidak, tiada kes bunuh diri dalam kalangan artis tanah air, tidak seperti di Korea Selatan, misalnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI