fbpx

Aksi sempurna Jabeur, Sabalenka bantu kemaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SABALENKA berjaya meneruskan kemaraan selepas menundukkan Camila Osorio Serrano awal pagi semalam. - AFP

LONDON – Pemain tenis kelahiran Tunisia, Ons Jabeur mencipta kejutan sensasi apabila melang­kah ke pusingan keempat Kejuaraan Wimbledon selepas menewaskan bekas pemain No. 1 dunia yang juga pilihan ke-11, Garbine Muguruza awal pagi semalam.

Pada aksi tersebut, Jabeur yang masih segar dengan kejayaan menjadi atlet berbangsa Arab pertama menjuarai siri Jelajah WTA di Terbuka Birmingham bulan lepas mempamerkan kebangkitan untuk menyingkirkan Muguruza dengan keputusan 5-7, 6-3, 6-2.

Kata Jabeur, kemenangan ke atas Muguruza adalah yang terbaik sepanjang kariernya tetapi tumpuan harus dikekalkan dalam usaha meneruskan momentum cemerlang apabila dijadualkan bertemu Iga Swiatek di pusingan keempat esok.

“Ini adalah hari paling bersejarah buat saya dan secara jujur, pada set pertama saya tidak ber­aksi dengan cemerlang kerana agak gementar di atas gelanggang. Namun, saya cuba tenang dan ternyata rezeki memihak kepada saya untuk menang kali ini,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Sementara itu, pemain pilihan kedua, Aryna Sabalenka menca­tat sejarah peribadi apabila mara ke pusingan keempat Kejuaraan Wimbledon buat pertama kali selepas menumpaskan Maria Camila Osorio Serrano dengan kemenangan 6-0, 6-3.

Kata Sabalenka, meskipun di atas kertas keputusan yang diraihnya nampak mudah, namun dirinya agak bergelut memandangkan Serrano mempamerkan kualiti serta cabaran yang tersendiri khususnya pada set kedua.

“Secara jujur, keputusan set pertama 6-0 sememangnya nampak teruk untuk dipandang tetapi apa yang dipamerkan oleh Serrano di atas gelanggang agak berbeza kerana dia mampu memberikan tentangan yang sengit.

“Dia tidak mengalah apabila terus berjuang pada set kedua tetapi harus diakui saya beraksi dengan lebih baik pada perlawanan kali ini.

“Kini, saya percaya prestasi saya semakin baik untuk melakar sesuatu yang gemilang kerana Wimbledon adalah tempat yang cukup istimewa bagi pemain tenis antarabangsa. Namun, saya perlu terus bekerja keras dan bersedia untuk aksi seterusnya nanti,” katanya.

Sabalenka dijadualkan bertemu dengan pemain pilihan ke-18, Elena Rybakina yang terlebih dahulu mara selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat, Shelby Rogers dengan keputusan 6-1, 6-4. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI