PETALING JAYA – Pelumba berbakat negara, Adam Norrodin mengotakan janjinya apabila menaiki podium tempat ketiga pada Kejuaraan Motosikal CEV Moto2 di Algarve, Portugal sebentar tadi.
Kejayaan itu membolehkan Adam kini meraih tiga kali podium tempat ketiga dalam tempoh dua bulan dalam saingan Moto2.
Pada April lalu, Adam meraih podium pertamanya di Litar Estoril, Portugal dan turut mencuri tumpuan apabila meraih kedudukan ketiga di Litar Ricardo Tormo, Sepanyol pada Mei lalu.
Pada perlumbaan tadi, Adam yang beraksi bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team memulakan perlumbaan di petak ketiga, namun sedikit ketinggalan pada awal saingan.
Kesilapan rakan sepasukannya, Lucas Tulovic yang terjatuh memberi peluang kepada Adam untuk memecut laju sekali gus mengakhiri saingan di tempat ketiga di Algarve.
Juara perlumbaan tersebut dimenangi pelumba pasukan Boscoscuro Talent Team-Ciatti, Fermin Aldequer dan Alonso Lopez. Hasil keputusan tersebut, Adam kini menduduki tangga ketiga keseluruhan dengan 80 mata.
Sementara itu, pelumba muda negara, Sharifuddin Azman berpeluang untuk melakukan kejutan pada Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia, namun terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat kelapan keseluruhan.
Pelumba berusia 20 tahun tersebut yang memulakan saingan petak kelima tampil dengan tunggangan kompetitif sepanjang perlumbaan apabila memberi tentangan hebat di kelompok hadapan. – K! ONLINE