KUALA NERUS – Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus menubuhkan pasukan khas bagi memberi bantuan kepada mana-mana penduduk daerah ini yang kesempitan dan kehabisan makanan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pasukan khas tersebut akan terus ke rumah keluarga terlibat untuk menghulurkan bantuan sebaik dimaklumkan.
“Tidak perlu angkat bendera putih, hubungi sahaja pasukan kerja Parlimen Kuala Nerus. Cukuplah kesusahan anda diketahui kami yang akan segera menghulurkan bantuan.
“Saya bukan apa, bimbang niat (kibar) bendera putih ini disalah erti sehingga melukakan hati jiran tetangga kerana dianggap seolah-olah tidak prihatin antara satu sama lain,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, setakat ini, Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus telah menerima 7,300 permohonan bantuan daripada penduduk daerah itu.
Jelasnya, sebahagian besar permohonan tersebut telah dipenuhi tidak termasuk kepada 60 pemandu teksi lapangan terbang dan 17 pengusaha bot penambang sekitar daerah itu yang menerima bantuan bakul makanan secara bulanan.
“Wakil Parlimen yang boleh dihubungi ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading (013926773), DUN Tepoh (0139287731), DUN Bukit Tunggal (019-9367731) dan DUN Seberang Takir (0192937731).
“Bagi perantau yang menetap di luar Kuala Nerus pula boleh hubungi 0192917731,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929