fbpx

Kompaun RM770, 000 dalam dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KKM mengeluarkan kompaun kepada salah seorang pihak pengurusan syarikat selepas disyaki melanggar SOP PKP dalam Op Patuh di sekitar daerah Pontian, Johor.

JOHOR BAHRU – Polis Johor mengeluarkan 77 kompaun berjumlah RM770,000 atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Patuh yang dijalankan Khamis lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah itu hasil daripada pemeriksaan ke atas 120 buah premis yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

“Dalam tempoh dua hari pelaksanaan Op Patuh, kita telah memeriksa 100 buah kilang, 14 pasar raya serta tiga terminal perkhidmatan bas di seluruh negeri ini.

“Dalam pada itu, sebanyak 77 kompaun telah dikeluarkan membabitkan 48 kompaun kepada pemilik premis manakala 29 kompaun kepada pekerja.

“Operasi selama dua hari itu turut menyaksikan empat premis diarah tutup serta merta kerana melakukan kesalahan melanggar SOP utama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan turut memberitahu, kesalahan yang paling banyak direkodkan adalah tidak patuhi SOP asas sebanyak 42 kompaun dan langgar syarat akta kerajaan tempatan sebanyak 27 kompaun.

“Selain itu, kesalahan lain termasuklah melebihi kapasiti 60 peratus kehadiran pekerja sebanyak lima kompaun dan salah guna surat kebenaran beroperasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebanyak tiga kompaun.

“Polis Johor komited untuk melaksanakan lebih banyak operasi seperti ini dalam menyahut seruan kerajaan untuk mengurangkan kadar ketidakpatuhan masyarakat terhadap SOP yang boleh membawa kepada peningkatan kes Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu operasi yang dijalankan dalam tempoh dua hari itu melibatkan seramai 503 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perlanggaran SOP ditetapkan kerajaan boleh menghubungi bilik gerakan polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677,” jelasnya.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI